Kontrak kerjasama 25 tahun Malaysia Airlines-Brahim berakhir esok


Ravin Palanisamy

Kontrak kerjasama katering makanan antara Brahim’s Food Services (BFS) dan Malaysian Aviation Group (MAG) akan dihentikan berkuat kuasa esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2023.

KONTRAK kerjasama katering makanan antara Brahim’s Food Services (BFS) dan Malaysian Aviation Group (MAG) di laluan domestik serta antarabangsa terpilih akan dihentikan berkuat kuasa esok.

MAG, syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) berkata penamatan perkongsian itu dibuat dua bulan selepas notis pemberhentian rasmi diberikan pada 30 Jun.

MAG berkata BFS kemudiannya bersetuju dengan lanjutan perkongsian itu secara rasmi berakhir esok.

“MAG akan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) untuk perkhidmatan makanan dalam penerbangan di laluan terpilih di bawah MAB berkuat kuasa 1 September berikutan tamat sambungan kontrak dengan BFS pada 31 Ogos.

“Pengaktifan BCP menandakan penamatan perkongsian warisan mengenai perkhidmatan katering yang sebelum ini disediakan oleh BFS di laluan domestik dan antarabangsa terpilih dalam rangkaian MAB.

“Semasa peralihan ini MAB akan menyediakan laluan yang terjejas dengan makanan dan minuman (F&B) dalam penerbangan alternatif memastikan operasi lancar sambil meminimumkan sebarang potensi kesan terhadap keselesaan dan pengalaman pelanggan.

“Laluan lain yang tinggal akan terus disediakan oleh pembekal semasanya, POS Aviation,” kata MAG dalam satu kenyataan hari ini.

MAG berkata ia terus meneroka pelbagai strategi untuk memastikan kemampanan perniagaan yang termasuk bekerjasama dengan penyedia F&B yang bereputasi.

MAG juga berkata mereka merancang untuk operasi layan diri di bawah bidang kuasa MAB melibatkan sumber barangan makanan yang dibungkus dan bekalan F&B daripada pelbagai pembekal termasuk pengendali loungenya MAS Awana.

MAG berkata syarikat pengendalian daratnya AeroDarat Services akan menguruskan proses pengangkatan makanan dalam penerbangan di atas pesawat.

“Bagi memudahkan ini, pusat pengedaran sementara diwujudkan di KLIA mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dan Kementerian Kesihatan, Malaysia,” kata kumpulan itu.

Brahim’s telah menyediakan katering dalam penerbangan syarikat penerbangan itu selama lebih 25 tahun. – Bernama, 30 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen