Kumpulan pengguna seru larangan sepenuhnya terhadap vape


Alfian Z.M. Tahir

Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan supaya serius mempertimbangkan pengharaman vape sepenuhnya. – Gambar AFP, 30 Ogos 2023.

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan supaya serius mempertimbangkan pengharaman vape sepenuhnya.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata vape akan mendatangkan kesan buruk pada masa depan dan sukar untuk dihapuskan sama seperti merokok melainkan ia dilarang sekarang.

Memetik kajian daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, Mohideen berkata penggunaan e-rokok dan vape dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% tahun lepas.

“Peniaga vape mengeksploitasi pelajar sekolah dengan menjual produk vape kepada mereka secara haram.

“CAP mendapati ramai pelajar sekolah mengaku mereka menggunakan vape dan ini membawa kita kembali kepada persoalan bagaimana mereka mendapat akses kepada peranti vape.

“Walaupun terdapat penurunan dalam penghisap rokok, berita buruknya ialah statistik menunjukkan trend remaja beralih kepada e-rokok dan vape. Kementerian Kesihatan menyifatkan kemunculan produk ini sebagai ‘ancaman kesihatan awam’, katanya.

Pada April Malaysia menghalalkan vape selepas kerajaan mengecualikan cecair dan gel nikotin sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 membolehkan ia dijual di pasaran terbuka dan dikenakan cukai.

Hasrat untuk mengenakan duti eksais sedemikian diumumkan pada Oktober 2021 oleh pentadbiran di bawah Ismail Sabri Yaakob dan sekali lagi oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika beliau membentangkan Bajet 2023 pada Februari.

Mohideen kemudian berkata keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia.

Beliau berkata Pusat Racun Kebangsaan yang berpangkalan di Universiti Sains Malaysia melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022.

“Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun, yang paling muda berusia empat bulan,” katanya. – 30 Ogos 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen