Suhaizan mahu jadikan Pulai kawasan berdaya huni


Calon Pakatan Harapan Suhaizan Kayat (empat dari kanan) berkata Pulai perlu dibangunkan seiring keperluan pembangunan moden. – Gambar Facebook, 30 Ogos 2023.

MEWUJUDKAN persekitaran bandar yang berdaya huni dan inklusif di kawasan Pulai menjadi antara hasrat dan hala tuju calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan parlimen itu.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu melihat perancangan bandar yang terancang termasuk penyediaan kemudahan asas secara berpusat merupakan antara penyelesaian jangka panjang terhadap isu perumahan yang sering dikemukakan rakyat di Pulai.

Sebagai langkah permulaan, Suhaizan bercadang untuk menyediakan rangka tindakan isu perumahan yang menggembleng sinergi tugas, peranan dan pelaksanaan di peringkat Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat.

“Di kawasan Pulai ini, isu kawasan perumahan yang semakin padat, isu tidak mampu untuk memiliki rumah dan persekitaran perumahan tidak berpusat semakin kerap dibangkitkan masyarakat. 

“Sehubungan itu, kita perlukan satu rangka tindakan yang jelas untuk mewujudkan dan memastikan Pulai menjadi bandar yang terancang dan berdaya huni. 

“Di peringkat kerajaan pusat menerusi KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan), dan kerajaan negeri sendiri masing-masing ada projek perumahan mampu milik… melalui rangka tindakan ini projek seumpama ini boleh disinergikan untuk mewujudkan ekosistem perumahan yang lebih selesa dan berpusat,” katanya dalam wawancara khas dengan Bernama.

Bagi beliau, mukim Pulai yang dahulunya dikenali Johor Barat, terletak dalam daerah Johor Bahru itu perlu dibangunkan seiring keperluan pembangunan moden, lebih-lebih lagi kawasan itu antara yang terhampir dengan pintu sempadan negara dengan Singapura.

Katanya, sebagai tindakan peringkat permulaan, beliau sudah mendapatkan kerjasama serta pandangan daripada pakar-pakar perancangan bandar tempatan dan seterusnya diperluas kepada PBT.

“Misalnya di kawasan perumahan sedia ada di Tampoi dan Kempas, semakin padat dan kebanyakan penduduk tidak selesa, namun disebabkan lokasinya yang strategik dengan peluang pekerjaan, maka mereka seolah terpaksa hidup dengan situasi yang padat.

“Dalam konteks ini, kita memerlukan rancangan tertentu yang harus dirangka untuk memastikan mereka menetap di sini dalam keadaan selesa, dengan melengkapkan kemudahan yang sepatutnya,” katanya yang optimis langkah itu mampu meningkat kadar indeks kebahagiaan di Pulai.

Selain itu, isu seperti isu keciciran pendidikan yang dihadapi segelintir penduduk di Pulai, peluang pekerjaan sektor tempatan dan soal pembangunan ekonomi serta modal insan golongan wanita serta anak muda turut menjadi perhatian bekas pensyarah itu.

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September. – Bernama, 30 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen