Isunya bukan Modul Hadis 40, tetapi pengajarnya 


Faisal Tehrani

Modul Hadis 40 Imam Nawawi dilancarkan dengan bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, iaitu antara lain untuk memupuk semangat kasih sayang, selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2023.

SAYA mengikuti kekecohan dan bantahan parti komponen Perikatan Nasional iaitu parti Gerakan mengenai pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara kelak. Timbul banyak kemusykilan mengapakah rakan sekutu Gerakan iaitu parti PAS gagal memberi penerangan sihat kepada mereka.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu, telah melancarkan modul hadis ini dengan bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, iaitu antara lain untuk memupuk semangat kasih sayang, selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.

Difahamkan, program rintis modul ini akan dilaksanakan di 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) sebelum akan diperluas ke sekolah-sekolah di bawah KPM pada tahun depan.

Hadis 40 Imam Nawawi adalah kitab rujukan hadis yang tersohor dalam kalangan orang Melayu Islam di negara ini, khususnya kelompok Islam Tradisionalis. Tidak sah surau dan balaisah kalau tidak menadah kitab ini.

Meskipun namanya Hadis 40, tetapi sebenarnya terdapat 42 buah hadis yang dimuatkan dalam kitab Al-Arbaun al-Nawawiyah. Hadis 40 ini disusun oleh Imam al-Nawawi yang meninggal dunia pada 676 hijrah. Hadis-hadis yang termuat dalam kitab ini mencakupi pelbagai persoalan.

Sebenarnya tidak ada apa sebab untuk siapa pun membantah modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ini. Pertamanya, ia hanya diperkenalkan untuk pelajar Muslim, dan diselit dalam subjek Pendidikan Islam. Keduanya, hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini sebetulnya mencakupi hal-hal seharian untuk menjadi seorang manusia, dan warganegara yang baik.

Malah terdapat penjelasan daripada pelbagai pihak bahawa modul ini diperkenalkan demi mengekang gejala ekstremisme dalam kalangan umat Islam sejak akhir-akhir ini.

Hadis 15 dalam kitab ini sebagai contoh menyarankan umat Islam untuk berbudi bahasa dan menghormati tetamu. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan berbunyi begini:

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata: “Sesiapa yang yakin kepada allah dan hari kiamat, hendaklah dia bercakap berkenaan perkara yang baik ataupun dia diam. Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari kiamat hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.

Jika kita membaca hadis ini tentulah kita akan termotivasi untuk berbuat baik dengan orang sebelah dalam kejiranan. Waima jiran kita itu adalah Dominic Lau, atau Siti Kasim, atau Mahathir Mohamad malah Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, Najwa Muhyiddin atau Ronald Kiandee. Pokoknya kalau mereka ini berjiran dengan kita, eloklah dibuat baik itu pun jika kita yakin kepada Allah dan hari kiamat. Kalau ada kuih dim sum lebih, hulur-hulurkanlah.

Dalam hadis 35 pula ditekankan hak-hak saudara, di mana bunyi hadis tersebut begini: “Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata, ‘Jangan saudara saling dengki-mendengki, tipu-menipu, benci-membenci, jangan saling belakang-membelakangi, jangan mengemukakan tawaran apabila sudah ada pihak lain yang bersetuju membeli, jadilah kalian orang yang bersaudara dan hamba kepada Allah. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam lain. Jangan menganiaya, membohongi dan menghina mereka. Takwa itu di sini (katanya dengan jarinya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Adalah kesalahan besar bagi seseorang Islam apabila dia memandang rendah sesama Islam. Setiap yang menjadi milik orang Islam sama ada nyawa, harta ataupun kehormatannya adalah haram bagi orang Islam lain.”

Kalau kita membaca hadis di atas kita percaya tidak akan ada alasan lagi untuk caci mencaci daripada orang PAS terhadap pengundi PH dalam kalangan keluarga. Tiada pergaduhan lagi dalam grup Whatsaop famili. InsyaAllah tiada pecah belah. Tidak patut ada takfiri.

Hadis di atas amat menekankan moral, akhlak dan adab. Kita diajar untuk tidak berbohong dan ditegah dari mendengki. Moga-moga dengan hadis ini dibaca dan dihayati nanti tiada lagi langkah-langkah Sheraton atas alasan mencemburui hak orang, dan bertujuan menganiaya dan berkhianat. Dalam syarah Hadis 40 memang dituntut dan dihalang orang Islam dari melakukan fitnah.

Ada juga hadis yang menegah kita dari marah seperti dalam hadis 16. Saya percaya kalau umat Islam memahami isi hadis ini tiada lagi orang yang akan marah-marah atas dasar kepartian. Islam marah tidak boleh dimenangkan mengatasi Islam rahmah yang menekankan kasih sayang dan saling menghormati sesama insan tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.

Juga hadis 18 yang diriwayatkan oleh Abu Dzar agar kita bergaul dengan manusia lain dengan akhlak yang baik. Tidak ada saranan supaya orang Islam mencokia umat Islam lain seperti menggelarkan orang lain pendek. Memang tiada.

Juga ada hadis 20 yang meminta orang Islam supaya berasa malu. Hari ini memang ramai antara kita tidak ada rasa malu. Masing-masing semacam berlumba untuk menelanjangkan diri sendiri di khalayak awam.

Menurut saya memang tiada isu dengan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ini. Isunya ialah apabila ia tiba di tangan penjawat awam atau guru sekolah yang merupakan anggota dan kadang kala ahli jawatankuasa parti tertentu. Sudah banyak kajian mengisyaratkan hal ini.

Hadis-hadis 40 ini akan ditunggangterbalikkan oleh para ustaz ini dan objektif yang baik untuk mengekang ekstremisme ditakuti akan mendorong lebih keesktreman di kemudian hari.

Misalnya pada hadis 34 mengenai kewajipan mencegah kemungkaran. Kalau hadis ini dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan ada syarah yang serong dengan menggunakan ayat 73 surah at Taubah terjemahannya berbunyi: “Hai Nabi! berjihadlah melawan orang kafir dan orang-orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka”.

Kalau di tangan ustaz yang bukan-bukan, hadis 34 dengan syarah ayat al-Quran di atas akan menjadi dalil untuk menolak Cina DAP (orang kafir), atau Melayu DAP (orang munafik) dan dihalalkan untuk menganiaya mereka (bersikap keraslah). Yang saya bimbang modul apa pun di tangan ustaz TikTok dan pempengaruh tidak bertanggungjawab akan tetap menerbitkan kekalutan dan kehancuran. Ini bukanlah sesuatu yang sukar berlaku.

Kalau dalam subjek sejarah pun sang guru boleh menghantar mesej perli dan ragu apatah lagi dalam modul hadis sebegini.

Yang kita perlukan adalah rombakan besar-besaran sistem pendidikan.

Yang kita perlukan ialah usaha mengambil alih sekolah-sekolah persendirian agama yang membibitkan perpecahan dan ekstremisme.

Yang kita perlukan ialah sekolah-sekolah tahfiz yang mengikut garis panduan.

Yang kita perlukan ialah penekanan kepada subjek-subjek dunia seperti sains dan teknologi supaya datang lojik dan kewarasan dalam kalangan Melayu-Islam.

Yang kita perlukan ialah penghayatan Rukun Negara.

Yang kita perlukan juga ialah penutupan sekolah-sekolah swasta pendidikan Cina supaya kesedaran kewarganegaraan kita seragam.

Yang kita perlukan ialah ketegasan terhadap sekolah-sekolah antarabangsa mewah yang anak-anak T20 mereka tidak bergaul dengan anak-anak B40 kami.

Yang kita perlukan satu penyata pendidikan yang baru.

Akan tetapi tidak akan dapat dilakukan kerana Anwar Ibrahim tiada dua pertiga di Dewan Rakyat.

Akan tetapi tidak akan dapat dilakukan kerana blok Borneo ada agendanya sendiri.

Akan tetapi tidak akan dapat dilakukan kerana Umno tidak mahu berubah.

Akan tetapi tidak akan dapat dilakukan kerana PAS akan kekal menunggang agama.

Akan tetapi tidak akan dapat dilakukan kerana akan ada liberal yang tidak faham realiti sosial dan politik semasa lalu terpekik terlolong mahukan lebih banyak hak individu.

Akan tetapi tidak akan dapat dilakukan kerana kita semua suka untuk menjahanamkan negara ini dari membinanya. Begitulah kita dan reformasi.

Yang salah memang bukan modul Hadis 40. Kalau ada modul hadis 400 atau 4000 atau 4 juta sekalipun kita akan kembali ke titik perpuluhan yang sama. Inilah nasib negara kita di ambang kemerdekaan.

66 tahun merdeka tetapi penghuninya tetap persis berusia 6 tahun. – 29 Ogos, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen