KEDUDUKAN Universiti Malaya (UM) meningkat sedikit dalam ranking universiti dunia sementara dua universiti terbaik Singapura terus bersinar di pentas dunia.
Walaupun Malaysia mempunyai lima universiti awam yang berjaya mendapat tempat 300 teratas dalam Ranking Universiti Dunia QS 2018, ia jauh lebih rendah berbanding institusi pengajian tinggi di negara jiran Singapura.
Universiti terbaik Malaysia, UM hanya dapat tempat ke-114 sementara Universiti Teknologi Nanyang Singapura di tangga ke-11, diikuti National University of Singapore di tempat ke-15.
Empat lagi universiti Malaysia tertinggal jauh ke belakang – Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat ke-229, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 230; Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 253; dan Universiti Sains Malaysia (USM), ke-264.
Semuanya berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu. UM di tempat ke-133 tahun lalu sementara UPM di tangga 270 diikuti UTM (288), UKM (302) dan USM (330).
Ketua unit kecerdasan QS Ben Sowter berkata universiti Malaysia ada peningkatan daripada segi akademik dan markah reputasi majikan.
Ranking terbaru, edisi ke-14 diumumkan pada Selasa di laman web topuniversities.com.
Ranking Universiti Dunia QS diterbitkan setiap tahun untuk memberikan indeks institusi pendidikan tinggi dunia, berdasarkan kepada enam petunjuk prestasi – reputasi akademik dan majikan, nisbah pelajar-fakulti, penyelidikan setiap ahli fakulti, perkadaran fakulti antarabangsa dan pelajar antarabangsa.
Ranking itu diluaskan tahun ini kepada 959 universiti – lebih 43 berbanding tahun lalu – di 84 negara.
Untuk enam tahun berturut-turut, Massachusetts Institute of Technology (MIT) Amerika Syarikat (AS) berada di kedudukan tertinggi.
MIT diikuti tiga lagi universiti AS - Stanford, Harvard dan Institut Teknologi California atau Caltech. Di tangga ke-9 Universiti Chicago.
Tempat kelima ialah Universiti Cambridge di United Kingdom (UK). Universiti hebat UK yang lain iaitu Oxford, Universiti Kolej London dan Kolej Imperial London di tangga ke-6, 7 dan 8.
Berada di tempat ke-10 ialah universiti teknologi dan sains Switzerland (Institut teknologi ETH Zurich - Swiss Federal).
Ranking pada tahun ini juga menunjukkan universiti China melakukan “pencapaian besar”, mendapat tempat 100 tertinggi buat kali pertama.
Antaranya ialah Universiti Tsinghua (25), Universiti Peking (38), Universiti Fudan (40), Universiti Shanghai Jiao Tong (62), Universiti Zhejiang (87) dan Universiti Sains dan Teknologi China (97). – 8 Jun, 2017.
Komen