Mahkamah tolak rayuan wanita keluar Islam


Mahkamah Rayuan memutuskan hanya mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu murtad mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos 2023.

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan seorang wanita seorang wanita berketurunan Serani untuk mendapatkan kebenaran memulakan tindakan undang-undang meninggalkan agama Islam, dan mengamalkan ajaran Buddha.

Malaysiakini melaporkan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi sebulat menolak rayuan wanita berusia 33 tahun itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung status agamanya.

Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim See Mee Chun dan Hakim Azizul Azmi Adnan.

Azizah ketika membacakan keputusan berkata hanya mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu murtad mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman wanita itu. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah betul kerana mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa kerana ini melibatkan permohonan untuk meninggalkan agama Islam, jelasnya.

Beliau menegaskan mahkamah sivil bukanlah mahkamah lebih tinggi berbanding mahkamah syariah, sebaliknya Perlembagaan Persekutuan memastikan kedua-duanya membentuk sistem kehakiman yang berasingan di Malaysia.

Wanita terbabit diwakili peguam Fahri Azzat, manakala peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili kerajaan.

Tiga lagi responden adalah Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). – 28 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen