Aktivis ingatkan kerajaan jangan sekat kebebasan bersuara


Alfian Z.M. Tahir

Serbuan ke atas Toko Buku Rakyat baru-baru ini antara contoh tindakan kerajaan yang menyalahguna Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 untuk menyekat kebebasan bersuara, kata aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos 2023.

KERAJAAN digesa supaya berhenti menyalahgunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 untuk menyekat kebebasan bersuara.

Memberi contoh rampasan buku di Toko Buku Rakyat baru-baru ini, aktivis berkata tindakan ia tidak sepatutnya berlaku sambil menyifatkan sebagai langkah ke belakang dalam kebebasan intelektual, sekali gus membantutkan pertukaran idea.

Pegawai Kanan Program Article 19 Malaysia Nalini Elumalai berkata kerajaan sewenang-wenangnya menggunakan PPPA tanpa menghormati hak kebebasan bersuara.

“Akta ini mesti dimansuhkan. Serbuan ke atas kedai buku menghakis demokrasi dalam pelbagai perspektif dan wacana seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kedai buku milik Benz Ali, Toko Buku Rakyat, yang terletak di Wisma Central, Kuala Lumpur didatangi empat pegawai KDN minggu lalu, dan merampas buku bertajuk “Marx Sang Pendidik Revolusioner” tulisan Robin Small dan “Koleksi Puisi Masturbasi” yang ditulis Benz Ali sendiri. 

Dua buku berkenaan tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media minggu lepas dilaporkan berkata rampasan dua buku itu dibuat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, bagi tujuan penyelidikan, semakan dan penelitian.

Saifuddin juga berkata buku terbabit akan dipulangkan selepas jika semakan mendapati isi kandungannya tidak melanggar akta.

Sebelum itu pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi Pride bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT).

KDN berkata rampasan tersebut dibuat susulan aduan awam dan di bawah Seksyen 7 PPPA.

Mengulas lanjut isu ini, Nalini berkata Seksyen 7 PPPA memberi kuasa budi bicara mutlak kepada KDN untuk mengharamkan mana-mana penerbitan dalam apa jua cara yang mungkin menjejaskan ketenteraman awam dan mengancam kebebasan bersuara.

Tambahnya, Article 19 berulang kali memberi amaran kepada kerajaan bahawa PPPA tidak selari dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, dan piawaian berkaitan kebebasan bersuara dan tanpa diskriminasi.

“Pelapor Khas PBB (Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) berkenaan perlindungan terhadap hak untuk kebebasan suara dan pendapat menekankan tanggungjawab negara untuk memastikan persekitaran di mana idea dan padangan politik boleh diluah dan dibahaskan dengan bebas dan terbuka.

“Dalam Kajian Berkala Sejagat 2018, kerajaan Malaysia komited untuk mengkaji semula PPPA selaras dengan kewajipan hak asasi manusianya seperti yang dicadangkan Republik Czech, Georgia dan Ireland,” kata Nalini.

Beliau juga berkata pada 2019, Muhyiddin Yassin ketika itu menteri dalam negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan enam akta termasuk PPPA.

“Bagaimananapun sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.

“Article 19 menggesa kerajaan Malaysia untuk terus komited mengkaji semula PPPA serta berbincang media dan kumpulan masyarakat sivil.” katanya. – 28 Ogos 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen