SPRM kesan pemimpin politik kempen pilihan raya dengan dana judi


SPRM akan memanggil beberapa pemimpin politik yang dikesan menerima dana daripada syarikat judi untuk digunakan dalam kempen pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2023.

AGENSI antirasuah akan memanggil beberapa orang pemimpin politik yang dikesan menerima dana dari syarikat judi yang digunakan dalam kempen pilihan raya, menurut laporan.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, pemimpin politik berkenaan antara orang kenamaan yang menerima dana sehingga RM7 juta daripada syarikat judi terbabit.

Laporan memetik sumber tidak dinamakan itu mendakwa individu terbabit menerima dana dari syarikat judi yang mendapat tambahan kuota mesin judi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Beberapa individu bergelar Datuk Seri dan Datuk berada dalam siasatan dan mungkin dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan memandangkan ada daripada mereka kini berada di luar negara,” kata sumber itu semalam.

Laporan itu menyebut, maklumat itu diperolehi ekoran penahanan 13 individu berusia antara 20 hingga 79 tahun pada Rabu lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Individu terbabit, termasuk seorang bergelar Tan Sri merupakan pemilik syarikat judi yang dikaitkan dengan penyaluran dana politik kepada pemimpin terbabit.

Tauke judi tersebut dilaporkan menaja pelbagai aktiviti melibatkan orang kenamaan tersebut termasuk bermain golf di kelab mewah.

SPRM juga dilaporkan mengesyaki orang kenamaan terbabit menerima bayaran bulanan untuk melindungi kegiatan judi.

Penambahan lesen mesin slot itu pula didakwa berlaku pada Jun tahun lalu, melibatkan tambahan lima unit mesin kepada 132 daripada 159 pengusaha dari kategori syarikat dan persatuan.

“Penambahan tersebut menjadikan dari 2,157 unit mesin slot meningkat kepada 2,812 unit. Bertambah 655 unit,” kata sumber Utusan seperti yang dikutip. – Bernama, 27 Ogos, 2023.

Menyusul



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen