Adun wanita PN di Selangor mahu tunaikan janji BN


Ravin Palanisamy

Nurul Syazwani Noh adalah satu-satunya calon wanita PN yang menang di PRN Selangor. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2023.

NURUL Syazwani Noh yang menang di kerusi DUN Permatang pada Pilihan Raya Negeri Selangor berikrar memastikan janji Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018 dipenuhi.

Ironi dalam janji tersebut adalah kerana beliau menang menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) tetap janji BN itu dibuat ayahnya, bekas orang kuat Umno Noh Omar yang pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Karang, kawasan terletaknya DUN Permatang.

Noh memberikan sokongan kepada PN yang menang banyak kerusi Parlimen pada PRU 2022, situasi yang menyaksikan bermulanya kemerosotan pengaruh BN.

“Saya akan bertanding untuk kawasan saya, terutama selepas persidangan bermula.

“Saya akan jadi suara rakyat,” kata ibu empat anak itu kepada The Malaysian Insight.

Nurul mengalahkan calon Pakatan Harapan Mohd Yahya Mat Sahri dengan majoriti 1,700 undi.

Nurul, 35, menyertai Bersatu selepas ayahnya dipecat Umno pada awal tahun ini.

Mengikuti jejak ayahnya, Nurul berkata beliau berada di kawasan Permatang hampir setiap hari untuk cuba menyelasaikan masalah dihadapi rakyat.

“Walaupun saya belum mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Adun, saya cuba menangani isu dibawa kepada saya. Saya terima banyak aduan baiki jalan, lampu jalan rosak dan banyak lagi.

“Memandangkan saya biasa dengan kawasan ini dan ada hubungan dengan agensi, saya boleh bertindak cepat untuk menyelesaikan aduan ini,” kata Nurul, satu-satunya wanita yang menang menggunakan tiket PN di Selangor.

Tambahnya, beliau juga akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu penduduk India dan China di kawasannya itu.

Penduduk kaum India di kawasan tersebut, menurutnya, mempunyai lebih banyak isu untuk diselesaikan.

“Ada isu yang mereka (India) hadapi yang masih tidak selesai. Salah satunya adalah sekolah Tamil di sini.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan bajet malah majlis pecah tanah sudah dijalankan dengan kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak.

“Tetapi selepas perubahan kerajaan, agaknya bajet tersebut dipindahkan ke tempat lain. Jadi sekolah itu masih tidak siap.

“Selain itu, banyak estet di Permatang, di mana orang pencen dan tua tidak ada tempat untuk duduk bila mereka bersara.

“Ketika ayah saya menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan dulu, ada bajet dan tanah diperuntukkan (untuk bina rumah).

“Walaupun kerajaan berubah, saya tidak pasti samada pelan itu ditangguhkan atau gagal dilaksanakan. Saya fikir isu ini adalah isu besar dihadapi orang India di Permatang yang perlu diselesaikan,” kata Nurul.

 Nurul yang bekerja sebagai peguam berkata sebelum dipilih sebagai Adun Permatang, beliau sudah meminta firma guamannya untuk memeriksa status perumahan kaum India di kawasan itu.

“Bila saya dalam dewan (DUN) nanti, saya akan jadi suara cuba memperjuangkan hak mereka,” katanya.

PN yang diterajui bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali membuat kejutan besar di negeri terkaya itu, menang 22 kerusi DUN pada PRN lepas, sekaligus menafikan majoriti dua pertiga untuk gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

Gabungan perpaduan PH-BN hanya menang 34 kerusi dan Adun Sungai Dua Amirudin Shari dinamakan sebagai menteri besar untuk penggal kedua. – 26 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen