Kerajaan perpaduan kombinasi terbaik untuk Johor, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keserasian dan komitmen yang ditunjukkan kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan di Johor dilihat sebagai kombinasi terbaik untuk mentadbir di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2023.

KESERASIAN dan komitmen yang ditunjukkan kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan di Johor dilihat sebagai kombinasi terbaik untuk mentadbir di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata kombinasi terbaik itu harus diterjemahkan oleh kedua-dua jentera Pakatan Harapan dan BN dengan mengukuhkan lagi kerjasama di semua peringkat khususnya di peringkat akar umbi.

“Keserasian ini kita dicapai di peringkat kepimpinan pusat dan negeri.. tapi di peringkat umbi mungkin ada sedikit masalah… jadi barisan pimpinan perlu turun padang dan perjelaskan kepada akar umbi tentang kedudukan kita.

“Saya amat yakin dengan penyatuan dan perpaduan antara PH dan BN yang ditunjukkan di Johor ini, ia akan memungkinkan kumpulan yang mempromosikan extremism dan juga ketaksuban, ditolak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada sesi perjumpaan bersama jentera Kerajaan Perpaduan bersempena Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Iskandar Puteri hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Johor.

Katanya walaupun prestasi BN pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri baru-baru ini memberi satu tamparan kepada BN khususnya Umno, namun beliau optimis jentera BN akan terus bekerja keras demi kemenangan calon daripada Kerajaan Perpaduan.

“Jentera BN akan terus memberikan sokongan padu kepada calon yang bertanding di Pulai dan Simpang Jeram, sekali gus memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan juga Persekutuan,” katanya.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi kedua-dua kerusi itu, manakala pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian pada 9 September. – Bernama, 25 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen