ADUN Paya Jaras yang baru dipilih Ab Halim Tamuri menggesa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempertimbangkan untuk tidak menebang pokok di Bandar Rahman Putra (BRP) di Sungai Buloh, Selangor sehingga penyelesaian secara baik untuk masalah itu dapat dicapai dengan penduduk.
“Kita harap buat masa ini MPS akan mempertimbangkan untuk tidak meneruskan tindakan ini (menebang pokok).
“Kita perlu melihat semula isu ini dan menyelesaikannya dengan cara yang terbaik,” kata Adun PAS itu ketika melawat tapak di padang rekreasi yang menempatkan pokok berkenaan.
Pada Selasa penduduk BRP mengumumkan mereka memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju hartanah berhubung cadangan untuk memperluaskan jalan yang akan menceroboh kawasan padang bola sepak.
Mereka berkata ini adalah pilihan terakhir mereka kerana rundingan dengan pihak berkuasa, pemaju dan MPS gagal membuahkan hasil.
Wakil penduduk BRP Keng Pui Kang berkata pada minggu lalu penduduk memutuskan untuk mendapatkan perkhidmatan peguam.
Penduduk menentang keras rancangan pemaju untuk melebarkan jalan sepanjang 6m kepada 12m di Jalan BRP7/2 di kawasan kejiranan mereka yang terletak bersebelahan dengan padang dan tindakan itu akan memakan kawasan hijau.
Penduduk mendakwa kira-kira 59 pokok di atas padang ditanda untuk ditebang.
Halim berkata beliau sudah pun mendengar pandangan penduduk.
“Kami mahu mengadakan pertemuan dengan MPS dan penduduk untuk melihat apa yang boleh kami lakukan dan menyelesaikan isu ini,” katanya.
Wakil BRP Lam Kin Tong berkata mereka memberikan semua butiran dan dokumen kepada Halim serta berharap beliau dapat menyelesaikan isu itu.
“Kita percaya berlaku salah komunikasi antara penduduk, MPS dan ibu bapa pelajar yang belajar di SMK Bandar Rahman Putra.
“Kami mahu melihat seberapa pantas beliau (Halim) boleh mengatur pertemuan dengan semua agensi berkaitan, supaya kami boleh mula bertindak,” kata Lam.
Ketika ditanya sama ada kontraktor akan terus datang untuk menebang pokok itu, Lam berkata mereka akan melindungi setiap “inci” padang.
“Jika mereka bercadang untuk memotong pokok, maka kita panjat dan duduk di atasnya. Biarkan mereka tumbangkan pokok itu bersama kita (di atasnya).
“Jika mereka memprovokasi kami maka kami akan mempertahankannya. Penduduk di sini setiap hari berjaga-jaga untuk sebarang pencerobohan,” katanya.
Semalam wakil BRP A. Venugopal membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh berhubung kehadiran kontraktor yang turun padang untuk menebang pokok.
Padang berkenaan merangkumi gelanggang bola keranjang dan sepak takraw, laluan pejalan kaki dan trek joging.
Penduduk BRP, Matang Pagar, Villa Putera, Villa Puteri, Amansari, Sri Indah, Sri Putra dan Kuang menggunakan padang tersebut.
Petisyen turut ditandatangani oleh 537 penduduk tempatan dan pengguna lapangan yang diserahkan kepada presiden MPS dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada 2019. – 25 Ogos, 2023.
Komen