Menantu Muhyiddin, peguam kini tersenarai notis merah Interpol


Ketua Polis Negara Razarudin berkata permintaan lisan bagi notis merah terhadap Muhammad Adlan Berhan dan peguam Mansoor Saat diluluskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2023.

MENANTU Muhyiddin Yassin dan seorang peguam, yang dilaporkan melarikan diri dari negara ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyenaraikan mereka sebagai individu dalam siasatan, diletakkan dalam senarai notis merah Interpol.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan dengan akhbar harian Melayu Utusan Malaysia yang permintaan lisan bagi notis merah terhadap Muhammad Adlan Berhan dan peguam Mansoor Saat diluluskan.

Razarudin berkata SPRM membuat permintaan lisan itu pada 15 Ogos lalu.

Adlan berkahwin dengan anak perempuan Muhyiddin, Nabilah, manakala Mansoor, peguam dikatakan sebagai personaliti penting dalam NERS Sdn Bhd – firma yang diberikan kontrak 12 tahun untuk memantau imigrasi warga asing ke Malaysia serta mengeluarkan Pas Lawatan (Pekerjaan Sementara) pada 2011.

SPRM, yang berkata kedua-duanya meninggalkan negara  pada Mei, sedang menyiasat kontrak itu bagi kemungkinan rasuah.

Kedua-dua lelaki itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam, menafikan mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, Adlan mendakwa beliau menjadi mangsa buruan dan reputasinya terjejas teruk selepas SPRM secara terbuka menuduhnya melarikan diri.

Mansoor sebaliknya mendakwa beliau menjadi “kambing hitam” akibat penganiayaan politik. – 25 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen