AKTA Perkhidmatan Parlimen akan memberi kuasa autonomi yang lebih besar kepada Parlimen apabila ia diperkenalkan semula, kata bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Speaker Dewan Negara itu berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.
“Janji saya kepada perdana menteri ialah saya akan bentangkan RUU ini selewat-lewatnya Oktober ini.
“Apabila undang-undang itu diluluskan dan dikuatkuasakan, pelaksanaannya memerlukan tempoh enam bulan,” katanya seperti dilapor The Star Online.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan lisan Dewan Rakyat pada Mac lalu berkata kerajaan sedang memuktamadkan RUU itu, yang diusahakan bersama Jabatan Peguam Negara.
Akta Perkhidmatan Parlimen akan memberikan kebebasan kewangan serta pembentukan Suruhanjaya bagi Perkhidmatan, Tatatertib dan Kewangan selain menentukan sendiri jumlah perbelanjaannya.
Akta ini diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1992. Sejak itu, hal ehwal Parlimen diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.
“Saya mencadangkan (kembalikan akta) semasa saya menjadi menteri semasa pentadbiran sebelum ini.
“Bagaimanapun, pada masa itu, masih banyak perkara yang longgar, dan dasar yang masih belum diputuskan.
“Keputusan muktamad dibuat mengenai dasar berkaitan RUU tersebut semasa mesyuarat selama satu setengah jam yang dipengerusikan oleh saya pada malam Rabu. Ia menandakan langkah sebenar pertama untuk akta itu dihidupkan semula selepas 30 tahun,” katanya dipetik The Star.
Wan Junaidi menambah, Parlimen akan mempunyai autonomi yang lebih besar untuk menguruskan kewangan dan pentadbirannya sebaik sahaja undang-undang itu diperkenalkan semula.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen akan ditubuhkan supaya pengurusan kakitangan di Parlimen tidak lagi berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Ini bermakna Parlimen boleh melantik pegawainya sendiri. Ia juga akan mendapat peruntukan terus daripada Kementerian Kewangan, dan ibebas untuk tentukan sendiri perbelanjaan.
“Audit dalaman akan dijalankan untuk melihat bagaimana wang tersebut dibelanjakan, dan ia juga akan berada di bawah penelitian Ketua Audit Negara,” jelas beliau.
Katanya lagi, satu majlis yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat juga akan ditubuhkan untuk menyelia pengurusan hal ehwal Parlimen.
Majlis itu akan dianggotai wakil daripada kementerian-kementerian berkaitan serta ahli Parlimen dan Senator pembangkang, kata Wan Junaidi. – 25 Ogos 2023.
Komen