BN usaha pastikan pengundi Cina sokong Amanah pada PRK Johor


BARISAN Nasional (BN) akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan pengundi Cina keluar mengundi calon Amanah pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan datang, kata ketua penerangan gabungan itu Md Jais Sarday.

Md Jais, yang juga ketua penerangan Umno Johor berkata untuk mencapainya, BN perlu melaksanakan strateginya dengan berhati-hati bagi membolehkan rakan sekutunya Pakatan Harapan (PH) mengekalkan dua kerusi itu.

BN/Umno menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN di Johor.

“Pengundi Cina mungkin menjadi penentu, kerana Pulai adalah kerusi campuran dengan 40.46% pengundi terdiri daripada kaum Cina.

“Disebabkan pengundi Cina dan peratusan keluar mengundi yang besar pada pilihan raya negeri Johor, Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub memenangi kerusi itu dengan majoriti besar 33,000 undi,” kata Md Jais sebagaimana dipetik The Star Online hari ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Salahuddin pada 23 Julai lalu.

Beliau adalah timbalan presiden Amanah dan pernah berkhidmat sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Amanah akan bertanding dalam PRK itu. Ia menamakan Suhaizan Kaiat bagi kerusi Pulai dan Nazri Abdul Rahman untuk Simpang Jeram.

Bagi kerusi DUN Simpang Jeram, Md Jais berkata pilihan raya negeri Johor tahun lepas menyaksikan gabungan undi BN dan PH mencecah hampir 15,000 undi.

“Penting bagi kedua-dua BN dan PH bekerja keras untuk mengekalkan kerusi itu. Sebarang kehilangan mana-mana kerusi akan dilihat oleh banyak pihak sebagai PAS memasuki Johor,” kata Md Jais.

Kerusi Parlimen Pulai mempunyai 166,653 pengundi, terdiri daripada 44% Melayu, 40.46% Cina, 12.31% India dan lain-lain 3%.

Simpang Jeram mempunyai seramai 40,488 pengundi, terdiri daripada 51.87% Melayu, 44.58% Cina, 2.5% India dan lain-lain 1%.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dilaporkan berkata beliau yakin dapat mengekalkan kedua-dua kerusi ini dengan sokongan “rakan baharu, iaitu Umno dan BN”. – 25 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen