Pengusaha taska sambut baik cadangan wajib pasang CCTV


Angie Tan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri sebelum ini berkata terdapat premis taska yang tidak memasang CCTV kerana tiada penguatkuasaan di bawah undang-undang setakat ini, sebaliknya pengusaha taska hanya digalakkan memasangnya. – Gambar EPA, 25 Ogos 2023.

KEBANYAKAN pengusaha taska menyambut baik cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing bagi menangani isu penderaan kanak-kanak dan salah laku lain.

Langkah itu bagaimanapun dibimbangi akan membebankan taska yang kurang berkemampuan untuk memasang CCTV yang sudah tentu akan menelan kos yang tinggi, yang dilaporkan mencecah sekitar RM10,000, kata mereka.

Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng berkata, CCTV bukanlah satu-satunya jalan untuk membendung kes penderaan di pusat jagaan kanak-kanak.

“Cadangan itu memang bagus tetapi perlu juga diingat bahawa kebanyakan kes-kes penderaan yang dilaporkan berlaku di pusat jagaan yang mempunyai CCTV,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah beliau, langkah paling penting untuk membendung kes penderaan ialah dengan memastikan setiap taska mempunyai guru dan pengasuh yang bertauliah.

Ng berkata guru taska perlu mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam pengurusan pendidikan awal kanak-kanak untuk melayakkan mereka diambil bekerja, tetapi malangnya syarat itu tidak diwajibkan ke atas pengasuh.

Tegasnya, pemasangan CCTV semata-mata tidak akan berjaya mengekang penderaan di taska sekiranya kanak-kanak tidak dijaga oleh pengasuh yang bertauliah dan berkualiti.

Bagi Pengerusi Persatuan Guru-Guru Tadika Negeri Kedah/Perlis Woon Pek Poon, cadangan untuk mewajibkan pemasangan CCTV di premis taska sangat dialu-alukan.

Katanya CCTV akan menjadi bukti sekiranya ibu bapa membuat aduan anak mereka cedera semasa berada di taska. 

“Apabila kanak-kanak jatuh dan cedera, rakaman CCTV boleh ditonton bersama ibu bapa untuk menyiasat bagaimana anak mereka boleh cedera kerana kecederaan tidak semestinya disebabkan oleh penderaan,” jelas Woon.

Selain berfungsi untuk keselamatan dan memantau aktiviti dalam taska, pemasangan CCTV juga penting untuk reputasi pengusaha, guru dan pengasuh.

“Kadang-kadang ibu bapa tak percaya anak mereka boleh terjatuh dan cedera.”

Pada 11 Ogos, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kementeriannya merancang untuk menguatkuasakan undang-undang pemasangan CCTV di setiap premis taska berdaftar bagi menangani isu penderaan kanak-kanak. 

Beliau dilaporkan berkata terdapat premis taska yang tidak memasang CCTV kerana tiada penguatkuasaan di bawah undang-undang setakat ini, sebaliknya pengusaha taska hanya digalakkan memasangnya.

“Dulu pun kita suruh, ada yang tidak bersetuju kerana (faktor) kos pemasangan CCTV. Mungkin kita akan tengok adakah ia melibatkan kos yang terlalu tinggi. Itu kita akan bincang bersama,” katanya dipetik Bernama, mengulas video tular seorang kanak-kanak dipercayai didera di sebuah taska di Sabah pada 8 Ogos yang diambil daripada rakaman CCTV. 

Nancy berkata dengan adanya pemasangan CCTV, ia dapat mengembalikan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat jagaan berikutan kes penderaan yang berlaku sebelum ini, malah membolehkan sebarang kejadian tidak diingini jika berlaku di premis itu dapat disiasat lebih terperinci.  – 25 Ogos 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen