Aktivis serah telefon bimbit kepada polis


Noel Achariam

AKTIVIS S. Shashi Kumar hari ini menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis Shah Alam untuk siasatan selepas enggan memberikan peranti itu kepada pegawai di Bukit Aman semalam.

Shashi yang merupakan presiden Yayasan Hak Asasi Manusia Global berkata dia memberitahu polis akan memadam semua dokumen dan kandungan pentingnya sebelum menyerahkan telefon bimbit miliknya.

“Apa yang dikehendaki polis hanyalah klip video lima minit. Polis berkata mereka boleh meminta peranti itu di bawah Seksyen 249 Akta Komunikasi.

“Jadi, saya mengosongkan telefon dan memberikan mereka peranti dengan hanya video itu. Mereka memberitahu saya telefon itu akan dipulangkan dalam masa kira-kira satu atau dua bulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shashi juga berkata polis menyoal siasatnya dan bertanyakan kira-kira 25 hingga 30 soalan tidak sampai sejam.

“Saya beritahu pegawai, saya akan jawab semua soalan di mahkamah,” katanya.

Shashi dipanggil semalam ke Bukit Aman untuk merakam kenyataannya berhubung video yang disiarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan majlis penukaran agama di sebuah masjid.

Shashi bagaimanapun keluar dari Bukit Aman selepas enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis untuk siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Sementara itu peguamnya Rajesh Nagarajan berkata siasatan terhadap Shashi adalah tidak berasas sama sekali dan membazirkan sumber polis.  

“Anak guam saya hanya menggunakan hak perlembagaannya untuk menyoal dan mengkritik perdana menteri.

“PM mesti terbuka dan bersedia untuk bertindak balas terhadap apa-apa dan semua jenis kritikan tanpa menggunakan serta menundukkan rakyat dengan siasatan polis.

“Kami menyeru polis dan Menteri Dalam Negeri untuk segera menggugurkan siasatan yang tidak wajar ini,” katanya.

Shashi juga berkata Anwar harus berpegang pada janji-janjinya berkaitan reformasi yang diserunya sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata inilah masanya untuk Anwar membuktikan dirinya seorang yang reformis kerana beliau memimpin Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama.

“Anwar dan kerajaan perpaduan perlu menerima kritikan rakyat dan menangani isu itu. Begitulah cara kerajaan reformasi yang baik harus bertindak,” katanya.

Awal minggu ini seorang lagi aktivis Arun Dorasamy turut dipanggil kerana mempersoalkan peranan Anwar dalam majlis penukaran agama.

Baru-baru ini video Anwar mengajar seorang lelaki membaca dua kalimah syahadah tular dan menarik pelbagai reaksi.

Kedua-dua aktivis itu disiasat mengikut seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 kanun keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 24 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen