KERAJAAN Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) harus beri perhatian serius dan mengambil tindakan lebih berkesan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai di negeri itu, gesa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Pencemaran sungai di Johor sudah lama berlarutan namun masih berulang, malah semakin serius sehingga mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan, kata presidennya Mohideen Abdul Kader.
Justeru beliau mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji tahap pencemaran sungai di Johor dan mengenal pasti punca-punca mengapa masalah ini gagal ditangani dengan berkesan.
“Apa yang membimbangkan CAP, pencemaran sungai di negeri ini bukan saja berpunca dari pembuangan sampah sarap tetapi juga sisa kimia yang boleh membunuh segala hidupan di dalam sungai dan memudaratkan kesihatan manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini juga melahirkan rasa kecewa Sungai Skudai masih tercemar meskipun kerap dibersihkan, tambah Mohideen.
“Bahan buangan seperti sampah-sarap, plastik, bangkai ayam dan lampin pakai buang telah mencemarkan air sungai tersebut.
“Sungai Tebrau juga turut mengalami masalah pencemaran yang teruk,” kata beliau.
Mohideen dalam pada itu turut menyentuh kes pencemaran bau kimia yang melanda Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram awal bulan ini, yang menyebabkan ramai penduduk mengalami sesak nafas, loya, sakit tekak, pening dan muntah akibat terhidu bahan toksik yang mungkin dibuang di dalam sungai.
Beliau berkata, kejadian buruk seperti yang berlaku pada 2019 dan 2021 akibat pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang menjejaskan kehidupan lebih 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah akan berulang jika pihak berkuasa gagal melaksanakan undang-undang dengan tegas dan berkesan.
“Nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain mungkin terputus mata pencarian jika pencemaran yang melibatkan sungai-sungai di negeri ini terus berlaku.
“Justeru itu, JAS perlu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan lebih tegas serta mengenakan hukuman berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukannya sekadar kompaun ke atas mereka yang didapati bersalah melanggar akta tersebut” tegasnya. – 24 Ogos 2023.
Komen