SEBUAH kumpulan mewakili agama bukan Islam menyifatkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan dilaksanakan di sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai tidak berperlembagaan.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan pendidikan Islam diajar seperti itu di sekolah.
MCCBCHST dalam satu kenyataan berkata, Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan hanya merujuk kepada upacara dan ibadat khusus sahaja.
“Ia tidak memasukkan Islam sebagai konsep yang merangkumi semua kerana ia biasanya difahami sebagai sistem kehidupan yang menyeluruh,” katanya.
MCCBCHST merujuk kepada pelancaran modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh KPM pada Sabtu lalu, yang bertujuan untuk memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata modul berkenaan akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
Modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati, katanya dipetik Bernama ketika majlis pelancaran di SMKA Putrajaya, Sabtu lalu.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM Omar Salleh pada majlis sama berkata modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.
Ia bertujuan supaya penghayatan hadis 40 bermula di peringkat sekolah lagi serta dapat memupuk semangat kasih sayang selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam, jelasnya.
Katanya lagi, modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah dan tidak terhad kepada sekadar membaca hadis sahaja.
Mengulas lanjut mengenai modul itu, MCCBCHST berkata Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa “Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima arahan atau mengambil bahagian dalam mana-mana upacara atau ibadah agama selain agamanya”.
“Oleh itu, peruntukan perlembagaan melindungi orang termasuk pelajar daripada mengambil pengajaran dalam mana-mana agama selain agama mereka,” katanya.
Ia selain itu menegaskan kerajaan dan menteri pendidikan harus bertindak mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat Malaysia sudah pun mendesak agar taraf pendidikan di sekolah dipertingkatkan.
“Sebelum sebarang langkah lanjut diambil, kementerian pendidikan perlu merujuk MCCBCHST sebagai pihak berkepentingan dalam perkara ini,” katanya.
Tambahnya, sekolah harus menjadi tempat perpaduan dan bukan untuk memperkenalkan dasar yang memecahbelahkan. – 23 Ogos 2023.
Komen