Wayar kereta kabel terputus, 6 pelajar Pakistan terkandas di udara 


Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk menyelamatkan pelajar yang terkandas kerana ketinggian kereta kabel itu yang dibina di kawasan berbukit di barat laut Pakistan. – Gambar EPA, 23 Ogos 2023.

SEKURANG-kurangnya enam pelajar sekolah di barat laut Pakistan terkandas di udara selepas wayar kereta kabel yang mereka naiki terputus semalam, lapor media tempatan.

Usaha menyelamat masih dijalankan dalam kejadian di kawasan Allai Tehsil di wilayah Khyber Pakthtunkhawa, lapor Agensi Anadolu memetik akhbar tempatan di Pakistan, Dawn News.

Lapan orang berada dalam kereta kabel itu ketika kejadian berlaku kira-kira 8 pagi waktu tempatan (0300GMT), katanya.

Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk menyelamatkan penumpang kerana ketinggian kereta kabel itu yang dibina di kawasan berbukit.

“Dua wayar kereta kabel itu terputus ketika di udara menyebabkan penumpang tersangkut pada ketinggian kira-kira 3,000 kaki (914 meter),” kata seorang pegawai tempatan, Mufti Gulamullah.

Kereta kabel itu dikendalikan secara persendirian oleh seorang penduduk di situ untuk mengangkut penduduk merentasi sungai kerana tiada jalan atau jambatan di kawasan itu. – Bernama, 23 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen