Datang bantu kami, kata KPN pada pengarang Sarawak Report


Muzliza Mustafa Low Han Shaun

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata polis menerima lebih 40 laporan berhubung artikel yang disiarkan Sarawak Report itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2017.

POLIS Malaysia hari ini “menjemput” pengarang Sarawak Report Claire Brown untuk membantu dalam siasatan berhubung RM9.5 juta yang dikatakan dibayar kepada peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar Ibrahim.

Sarawak Report mendakwa wang yang dibayar kepada Shafee itu datang dari akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata polis menerima lebih 40 laporan berhubung artikel Sarawak Report itu.

“Tidak adil bila anda hanya siarkan ia di Sarawak Report. Mengapa tidak anda datang sini untuk bantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis Bukit Aman pagi ini.

Beliau berkata Brown patut tampil ke depan memberikan bukti dan dokumen sokongan kepada polis.

Sarawak Report pada minggu lalu melaporkan RM9.5 juta dibayar kepada peguam terkemuka itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Baila Yusuf Wahi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar yang pada masa itu ahli Parlimen Permatang Pauh dan sedang bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kajang.

Sarawak Report berkata ia melihat dokumen daripada penyiasat mendakwa Najib membayar menggunakan wang yang diterima daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Sarawak Report berkata Shafee dikatakan menerima wang itu daripada Najib pada 11 September, 2013. – 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen