Minda tenang undi wakil rakyat tepat?


G Manimaran

Malaysia tidak memperuntukkan tempoh bertenang secara formal sebelum hari pengundian seperti negara-negara lain termasuk Indonesia dan Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2023.

AKTA Kesalahan Pilihan Raya 1954 mentakrifkan ‘tempoh berkempen’ sebagai satu jangka masa ‘mana-mana calon atau ejen pilihan rayanya dibenarkan mengadakan kempen pilihan raya di dalam bahagian pilihan raya calon itu (bertanding), iaitu tempoh yang bermula dari masa pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan di dalam bahagian pilihan raya yang baginya dia dilantik dan berakhir apabila tamat hari sebelum hari mengundi’.

Bermakna calon atau ejen mereka ataupun mana-mana pihak yang bertindak bagi pihaknya tidak boleh terlibat atau mengadakan sebarang kempen untuk meraih undi.

Susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir pada 12 Ogos lalu, yang menyaksikan penurunan peratusan keluar mengundi, muncul semula saranan, syor dan idea supaya diadakan satu peruntukan khusus yang berkaitan dengan ‘tempoh bertenang’.

Walaupun beberapa laporan media dan hasil tinjauan umum menunjukkan sekitar 85% pengundi membuat keputusan mengenai calon dan parti pilihan mereka, tetapi peratusan keluar mengundi kekal rendah sebagaimana diramalkan. Saya sendiri meramalkan jumlah pengundi bakal keluar mengundi hanya sekitar 70 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 85% akan keluar mengundi kali ini. Jangkaan itu 10 peratus lebih rendah berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan lima peratus lebih rendah berbanding PRU15, 19 November lalu.

Pelbagai alasan dikemukakan mengenai penurunan bilangan pengundi yang keluar mengundi. Salah satunya berkaitan dengan kesukaran untuk membuat pertimbangan terbaik dalam keadaan tertekan, terkeliru dan rumit.

Malaysia tidak memperuntukkan tempoh bertenang secara formal kecuali dikatakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bahawa tidak boleh ada sebarang bentuk kempen sebaik sahaja kempen formal berakhir pada pukul 12 tengah malam sebelum hari pengundian pada keesokan hari.

Bermakna tempoh ‘bertenang’ dimaksudkan ialah selama lapan jam sebelum pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi. Sebenarnya tiada istilah ‘tempoh bertenang’ di dalam undang-undang pilihan raya negara.

Di peringkat global terma ‘tempoh bertenang’ atau ‘election cooling period’ digunakan dengan meluas. Di sesetengah negara tempoh tanpa sua atau ‘election silence’ lebih popular. Malah ada yang menggunakan istilah ‘blackout period’, ‘pre-election silence’, ‘electoral silence’ dan ‘campaign silence’. Apa pun kesemuanya merujuk kepada satu tempoh bertenang bagi pengundi tanpa sebarang bentuk kempen.

Kita wajar menyediakan satu peruntukan khusus berkaitan dengan ‘tempoh bertenang’ menjelang hari pengundian. Perkara ini ada ditekankan oleh Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dalam laporannya yang dikemukakan kepada kerajaan pada Ogos 2020.

Tetapi sehingga kini belum ada perkembangan tindakan di pihak kerajaan. Diharap kerajaan perpaduan pada hari ini akan bertindak untuk merealisasikan syor-syor yang disenaraikan termasuk keperluan mewujudkan peruntukan berkaitan dengan ‘tempoh bertenang pilihan raya’.

Dalam laporan itu, ERC mengesyorkan ‘tempoh bertenang’ selama dua hari. Tempoh itu mencukupi untuk para pengundi membuat keputusan akhir mereka dengan tenang, tanpa sebarang tekanan, ugutan ataupun ancaman, sebelum pergi untuk menunaikan tanggungjawab dan hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan negeri masing-masing.

Tiga hari atau lebih  adalah terlalu panjang yang kemungkinan akan membawa impak yang sebaliknya termasuk kemungkinan menjejaskan peratusan keluar mengundi atau amalan tidak bertanggungjawab di pihak yang bertanding.

Dua hari adalah lebih sesuai, relevan dan kondusif kepada kesemua pemegang taruh pada hari ini. Sebagai satu permulaan tempoh dua hari adalah memadai.

Di bawah undang-undang berkaitan jualan langsung, setiap kontrak jualan langsung perlu untuk menyatakan dengan jelas kontrak itu tertakluk kepada tempoh bertenang selama 10 hari kerja yang tidak termasuk hari rehat dan cuti umum. Inikan pilihan raya.

Satu komponen yang penting dalam amalan demokrasi, hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maka, keperluan ini harus dijadikan mandatori untuk rakyat membuat pilihan terbaik.

Lebih 50 negara sedang mengamalkan tempoh bertenang dengan disertakan sebagai salah satu aspek dalam undang-undang pilihan raya. Dalam senarai ini termasuklah Armenia yang menyediakan tempoh bertenang selama 24 jam atau satu hari, Argentina (dua hari atau 48 jam), Azerbaijan (satu hari), Bahrain (satu hari), Kemboja (dua hari), Mesir (dua hari), Greek (dua hari), India (satu hari hingga dua hari termasuk kedua-dua pengundian awal dan pengundian sebenar), Indonesia (tiga hari), Nepal (dua hari), Pakistan (satu hari), Paraguay (dua hari), Peru (satu hari), Singapura (satu hari) dan Sri Lanka (dua hari).

Di bawah tempoh bertenang di Singapura misalnya, hari bertenang merujuk kepada satu hari di mana kempen tidak dibenarkan sama sekali. Pengiklanan pilihan raya tidak boleh diterbitkan atau dipaparkan.

Tempoh bertenang atau ‘kempen senyap ’ selam 24 jam adalah untuk membolehkan pengundi membuat pertimbangan secara rasional pelbagai isu yang dibangkitkan semasa kempen pilihan raya sebelum pergi mengundi.

Aktiviti yang dilarang pada hari bertenang dan hari mengundi iaitu menjelajah dan melawat rumah dan tempat kerja pengundi; memakai, menggunakan, membawa atau mempamerkan sebarang propaganda politik (seperti lencana, simbol, roset, bantuan, set warna, bendera, iklan, surat tangan, plakat, poster atau replika kertas mengundi) oleh mana-mana orang atau pada mana-mana motor, kereta, lori atau kenderaan lain.

Selain itu, orang ramai hendaklah mengelak daripada memakai sebarang pakaian yang mengandungi imej, simbol pilihan raya dan/atau mesej kempen mana-mana calon. Mengadakan mesyuarat pilihan raya juga tidak dibenarkan. Malah aspek yang sama diberi penekanan oleh negara-negara yang mengamalkan tempoh bertenang.

Pelaksanaan tempoh bertenang perlu diiringi dengan tempoh kempen yang secukupnya. Tempoh berkempen selama 14 hari yang diamalkan sejak dua, tiga PRU umum dan sepanjang banyak pilihan raya kecil (PRK) kebelakangan ini perlu dikekalkan dengan disertai oleh dua hari bertenang, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

Pada masa yang sama, kita boleh menetapkan hari Isnin sebagai hari mengundi yang tetap di bawah undang-undang (yang seharusnya dijadikan sebagai cuti nasional umum di seluruh negara).

Bermakna SPR hanya perlu dan harus mengadakan pilihan raya pada hari Isnin, bukannya pada mana-mana hari mengikut budi bicara mereka. Kita masih memerlukan dan wajar memberi tempoh berkempen yang cukup iaitu 14 hari yang sudah mula diamalkan sekarang. Tempoh minimum di bawah peruntukan undang-undang semasa ialah 11 hari.

Memandangkan jumlah pengundi bertambah dan akan terus meningkat iaitu seramai 26 juta orang dalam PRU16 susulan pendaftaran pengundi secara automatik dan Dasar Undi18, kita wajar memberikan tempoh 14 hari untuk berkempen. Kita perlu berlaku adil kepada calon, parti dan para pengundi untuk menyebar luas bahan kempen dan menerima maklumat mengenai bahan berkempen.

Meskipun kita ada kemajuan teknologi, tetapi cara berkempen secara tradisional masih kekal popular dalam meraih sokongan dan undi. Dalam melaksanakan kedua-dua aspek tempoh bertenang dan tempoh berkempen yang secukupnya, SPR ada kapasiti kerana sudah ada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya.

Pun begitu, disebabkan oleh kemajuan teknologi yang menyediakan platform media dalam talian dan sosial, SPR perlu ada unit kuat kuasa pengawasan dan pemantauan ketika tempoh bertenang.

Kalau kita hendak dan mahu menyediakan gelanggang saingan yang adil dan saksama kepada semua pemegang taruh, SPR perlu disediakan dengan kapasiti, keupayaan, prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang termasuk aspek penguatkuasaan, siasatan dan mendakwa kepada SPR.

SPR sebagai badan tunggal pengurusan pilihan raya dan bebas, perlu disediakan keperluan itu termasuk kuasa untuk menjalankan siasatan, kuat kuasa dan mendakwa mana-mana pihak yang melanggar peruntukan berkaitan kesalahan pilihan raya.

Kini sudah tiba masa untuk undang-undang dan sistem pilihan raya disemak semula, dan disediakan peruntukan yang holistik.

Senarai fungsi SPR pada masa sekarang yang terhad kepada tiga fungsi utama harus ditambah iaitu berkaitan mengemukakan semakan undang-undang pilihan raya dan bidang kuasa siasat, dan mendakwa mereka yang melakukan kesalahan pilihan raya. SPR perlu menjadi sebuah badan pengurusan pilihan raya lebih bebas, lebih ‘credible’ dan bertaring.

Tiga fungsi utama SPR pada hari ialah membuat kajian dan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih dan menjalankan PRU ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri serta menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.

Pengenalan tempoh bertenang ini akan secara langsung boleh dan mampu mengurangkan ketegangan dalam kalangan penyokong parti politik serta orang awam dan seterusnya mewujudkan suasana yang lebih aman pada hari mengundi. Pihak media juga dilarang membuat sebarang liputan berkaitan dengan kempen pilihan raya.

Selain daripada itu, amalan ini akan memudahkan urusan pembersihan bahan kempen dan penguatkuasaan undang-undang.

Satu lagi komponen yang wajar dikaji, digubal dan dilaksanakan dalam usaha melengkapkan ekosistem pilihan raya demokratik di Malaysia. – 23 Ogos, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen