Polis tiada petunjuk kesan anak Indira Gandhi, kata KPN


Noel Achariam

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis sudah pun menyebarkan maklumat kepada anggota mereka untuk mengesan kanak-kanak itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Mac, 2018.

POLIS masih belum mendapat “hasil positif” dalam cubaan mengesan anak perempuan M Indira Gandhi yang diambil oleh bekas suaminya 10 tahun lalu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata polis sudah pun menyebarkan maklumat kepada anggota mereka untuk mengesan kanak-kanak itu.

“Usaha polis untuk mengesan anak itu masih berterusan.

“Ada orang kata dia di Bidor dan Kelantan.

“Masalah kami ialah tidak ada petunjuk yang kukuh,” katanya selepas menghadiri program Persatuan Keluarga Polis di PWTC hari ini.

Semalam, Indira menerima pujian oleh Kedutaan AS atas perjuangannya selama sembilan tahun terhadap bantahan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Beliau dicalonkan bagi Anugerah Wanita Berani Antarabangsa oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), menjadikan beliau rakyat Malaysia ketiga yang bakal memenangi hadiah tersebut.

Bagaimanapun, guru tadika berusia 41 tahun itu masih merasakan kekosongan di dalam hatinya kerana tiada penghargaan atau pengiktirafan dapat mengisi ketiadaan anak bongsunya, Prasana Diksa.

Ia sudah 10 tahun sejak kali terakhir beliau melihat anak perempuannya, yang diambil oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah ketika anak itu berumur 11 bulan, pada 2009.

Sejak Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari memutuskan penukaran agama sebelah pihak untuk tiga anak itu kepada Islam oleh Riduan dibatalkan, polis tidak menghubungi Indira berkenaan keberadaan Prasana.

Mahkamah tertinggi memutuskan penukaran agama anak di bawah umur memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa dan perkataan “ibu bapa” dalam Perlembagaan kerap disalah tafsir.

Dengan keputusan itu, mahkamah juga memerintahkan polis mencari Riduan dan Prasana serta memulangkan anak itu kepada Indira. – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen