Watan dan retorik Lim 


PADA 1 November 2022, Lim Kit Siang atau Lim Bapa mengolah satu retorik: “Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia”.

Retorik ini hanya mahu bersaing dengan retorik “Ketuanan Melayu” oleh Umno.

Namun, tanpa disedari, retorik Lim Bapa mendedahkan niat beliau yang menganggap Malaysia masih tidak cukup majmuk.

Malah cadangan beliau itu seolah-olah negara yang merdeka sejak 1957 ini, tidak bertaraf dunia.

Pada 9 Ogos, Lim Bapa dilaporkan oleh NST berharap “Malaysia tidak memerlukan 230 tahun sebelum seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.”

Lim Bapa memberi contoh “Di Amerika Syarikat, seorang lelaki kulit hitam, Barack Obama, menjadi presiden Amerika Syarikat (AS) - tetapi ini berlaku kira-kira 230 tahun selepas penubuhan AS pada 1776.”

Pada 12 Mei 2018, anak Lim Guan Eng (Lim Anak) menulis di Facebook: “Saya tidak menganggap saya sebagai bangsa Cina, saya ialah rakyat dan bangsa Malaysia.” 

Ini satu jawapan bijak yang selari dengan retorik Lim Bapa yang bertanya soalan kepada Muhyiddin Yassin sama ada bersediakah dia (Muhyiddin) mengisytiharkan dirinya ‘Malaysian 1st or Malay 1st”.

Kemudian, pada 27 Okt 2022 seperti yang dilaporkan di Twitter (sekarang X) Astro Awani, Lim Anak berkata: “Kalau kita nak negara maju ke hadapan, jangan kita masih terjerat dengan isu kaum dan agama.” Beliau beri contoh Rishi Sunak berketurunan India boleh menjadi Perdana Menteri Britain.

Siapa layak jadi PM

Tidak salah mana-mana parti atau ahli politik menyimpan hasrat mahu calonnya menjadi perdana menteri. Niat itu sesuai dengan apa yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Jika anak Kassim, anak Openg, anak Murugan, anak Lim sekalipun, terasa nak jadi PM, ia boleh dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang di Malaysia.

Seseorang yang mahu menjadi PM, perlulah menang pilihan raya menjadi seorang ahli Parlimen dan mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat yang kuat dan meyakinkan hingga mendapat “perkenan” Agong.

Di atas kertas, syarat untuk menjadi PM ini cukup mudah, namun realiti di lapangan sebaliknya kompleks.

Seseorang yang mahu menjadi PM perlukan sebuah mandat. Mandat ini bukan hanya sekadar angkat tangan menyokong, tetapi mandat itu datang dari keabsahan di mana seseorang

itu jelas kiblat atau ideologi politiknya, diyakini integritinya dan diyakini identiti budaya hidupnya.

Perkara ini tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau syarat memegang jawatan PM, tiada.

Tetapi perkara tersebut wujud dalam dunia realiti yang berlapis-lapis dan bersimpang siur ini.

Mari kita menilai kembali contoh yang diberikan oleh Lim Bapa dan Lim Anak, iaitu Obama (presiden AS) dan Rishi Sunak (perdana menteri British).

Dua tokoh berketurunan imigran ini dengan mudah kita kenal identiti mereka sungguhpun susur keturunannya bukan watan.

Akidah politik mereka diterjemah dengan ketara pada karisma mereka menerusi bahasa, gaya dan identiti budaya hidup mereka yang “mewatan”. 

Obama bercakap bunyi “American English”, Rishi Sunak bercakap bunyi “Brit English”, bukan Inggeris dialek India.

Ini belum dilihat lagi dengan gaya dan budaya hidup Obama “American life style” dan Rishi “British Essence - British People”.  

Bahasa Inggeris itu bahasa watan di tanah British dan Amerika di mana agenda “American Dream” diterjemahkan dalam kerangka politik; bukan sekadar bahasa lulus peperiksaan seperti di Malaysia.

Identiti dan karisma mereka sebagai pemimpin, jelas membumi dengan budaya watan, watan British itu “Orang British”, bukan majmuk. 

Identiti Obama dan Rishi ini cukup jelas hingga anak-anak watan menerima mereka sebagai orang yang mempunyai persamaan identiti dengan mereka. 

Inilah yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Pada 9 Julai 2023, Dr Mahathir berkata: “Hari ini kita lihat sekarang migran, ramai orang daripada Afrika, negara Arab, India dan Pakistan berhijrah ke Eropah. Akhirnya mereka menjadi penduduk Eropah. Seperti di Britain, Jerman, Perancis dan lain-lain. 

“Apakah dengan kedudukan mereka di situ maka negara itu tak lagi menjadi Britain, Jerman, Perancis, dan lain-lain? Apakah mereka ditukar menjadi negara berbilang kaum. Tidak.”

Cita-cita

Mereka yang bercita-cita hendak jadi PM ini akan diteliti dari mana partinya, apa ideologi partinya, rekod aktiviti partinya dan apa akidah politiknya.

Di sini saja, retorik Lim Bapa dan Lim anak ini boleh dinilai. Parti dan pemimpin-pemimpin mereka sendiri gagal berasimilasi dengan budaya dan identiti watan.

Lihat isu-isu politik yang dibangkitkan sejak sekian lama, itu belum dinilai bahasa pengucapannya mereka lagi. Semuanya tidak “mewatan”.

Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang dilihat oleh Lim, mampu merealisasikan retorik negara “majmuk” beliau.

Kini Umno juga sudah mejadi sahabat DAP, maka Umno harus mengiktiraf “Ketuanan Malaysia” yang diangkat oleh Lim, sebagai tanda keakraban persahabatan dengan DAP. – 22 Ogos, 2023.

* Mahdzir Ibrahim, Ahli Majlis Tertinggi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen