PAKATAN Harapan mungkin tidak dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek dalam pilihan raya negeri Selangor tanpa sokongan Barisan Nasional (BN), kata Ong Kian Ming.
Bekas ahli Parlimen Bangi itu berkata kerusi di Selangor adalah contoh yang baik tentang manfaat kerjasama Pakatan Harapan-BN semasa pilihan raya negeri baru-baru ini.
Beliau berkata kerusi itu juga yang paling sukar untuk DAP pertahankan.
“Ini adalah hampir 60% kerusi majoriti Melayu yang mana DAP meletakkan calon Cina tempatan menentang calon Perikatan Nasional yang agak terkenal yang merupakan bekas pemimpin Umno tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ong berkata pemindahan undi daripada penyokong BN sudah cukup untuk memastikan calon etnik Cina daripada PH memenangi kerusi majoriti Melayu dengan majoriti 1,458 undi dalam menentang calon Melayu Perikatan Nasional (PN).
Calon PH DAP Lwi Kian Keong berdepan Suhaimi Ghazali (PN) dan R. Nageswari (Bebas) dalam pertandingan tiga penjuru.
Lwi memperoleh 17,984 undi manakala Suhaimi mendapat 16,526 dan Nagewari (230 undi).
“PH tidak akan dapat memenangi kerusi N56 Sungai Pelek tanpa sokongan daripada Umno terutamanya di kawasan majoriti Melayu Jenderam Hulu, Salak, dan Hulu Cucuh.”
Ong berkata 5% daripada 25% sokongan Melayu yang diberikan kepada BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) beralih kepada PH pada pilihan raya negeri Selangor.
“Begitu juga, kira-kira 5% undi Cina dan 10% undi India juga telah beralih kepada PH daripada BN.”
“Secara keseluruhannya, pemindahan undi kira-kira 25% daripada jumlah undi BN dari PRU15 pergi ke PH pada pilihan raya negeri 2023, dengan baki 75% kepada PN,” tambahnya.
Ong menegaskan, kerjasama antara pemimpin PH dan BN di peringkat akar umbi turut diperkukuh dengan kehadiran pemimpin negeri dan negara.
“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, datang ke Sungai Pelek untuk berkempen bersama calon PH, Lwi Kian Seong, bersama Ng Sze Han, Setiausaha DAP Selangor.”
“Zafrul dapat menggerakkan kepimpinan Umno tempatan dan akar umbi untuk memberikan sokongan mereka kepada calon PH,” katanya.
BN juga mendapat manfaat daripada kerjasama itu kerana PH telah membantu bekas musuhnya memenangi kerusi lain seperti Dusun Tua.
DAP sebelum ini memenangi Dusun Tua pada pilihan raya umum ke-14 dan kerusi itu diberikan kepada Umno pada pilihan raya negeri baru-baru ini.
Beliau berkata calon Umno, Johan Abdul Aziz memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,000 undi.
Pemimpin DAP termasuk Pengerusi Selangor Gobind Singh, Ng Sze Han, Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh telah berkempen untuk calon Umno di sana, Johan Abdul Aziz, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,014 undi.
Dalam pilihan raya Selangor, PH memenangi 32 kerusi daripada 56 kerusi DUN manakala BN hanya menang dua.
PN memenangi 22 kerusi menafikan PH majoriti dua pertiga buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun. – 22 Ogos, 2023.
Komen