Dosa-dosa Oppenheimer


Faisal Tehrani

Oppenheimer sebuah filem biopik mengenai J. Robert Oppenheimer, saintis unggul yang pernah dianggap sebagai ‘Bapa Bom Atom’. – 22 Ogos 2023.

SEHINGGA setakat ini, filem Christopher Nolan yang paling sempurna barangkali adalah Oppenheimer (2023). Nolan terkenal dengan filem-filem seperti Batman Begins (2005), The Dark Knight (2008), Inception (2010), The Dark Knight Rises (2012), Interstellar (2014), Dunkirk (2017) dan Tenet (2020). 

Oppenheimer sebuah biopik mengenai ‘pencipta bom atom’ J. Robert Oppenheimer, hubungannya dengan komuniti ahli fizik, pertelingkahan moral dalaman dan luaran beliau, serta kejatuhan seorang saintis unggul ini yang pernah dianggap sebagai ‘Bapa Bom Atom’.

Ada banyak yang perlu dinyatakan mengenai sebuah karya yang sempurna ini. Pertamanya, dari aspek dramaturgi, Oppenheimer (2023) menawarkan kita sebuah kanun dari segi adaptasi. 

Filem mengenai J. Robert Oppenheimer, dengan watak titularnya dibintangi oleh Cillian Murphy (yang sering muncul dalam filem-filem Nolan) ini dipindahkan dari kertas ke layar menerusi buku non fiksi ‘American Prometheus: The Triumph and Tragedy of J. Robert Oppenheimer’ karangan Kai Bird dan Martin J. Sherwin. 

Sebagai sebuah buku ‘American Prometheus’, biografi setebal 722 halaman ini memenangi hadiah sastera dan buku paling berprestij di Amerika Syarikat iaitu Hadiah Pulitzer. 

Ia dikerjakan selama 25 tahun oleh Martin Sherwin di mana beliau mula-mula menandatangani kontrak untuk menulisnya pada 1980 dengan penerbit buku terkemuka Knopf. 

Sherwin menyelongkar lebih 8 ribu halaman rekod FBI mengenai Oppenheimer; membaca lebih 50 ribu halaman arkib mengenai beliau dan penciptaan bom atom, khusus yang terdapat di Perpustakaan Kongres dan mewawancara tidak kurang 100 orang individu yang mengenali Oppenheimer, yang kebanyakannya telah pun mendiang ketika filem ini ditayangkan baru-baru ini. 

Oleh kelelahan menulis dan menyelidik mengenai Oppenheimer, Sherwin mengajak Kai Bird untuk sama-sama menulis buku ini. Sherwin meninggal dunia pada 2021, beberapa hari sebelum Nolan mengumumkan kepada dunia yang beliau akan menulis adaptasi Oppenheimer sebagai projek terbarunya.

J. Robert Oppenheimer. – Gambar Facebook, 22 Ogos 2023.

Sukar membayangkan bagaimana Nolan hendak memindahkan teks sepanjang lebih 700 halaman ke sebuah filem. Untuk itu Nolan secara amat berwaspada menelusuri hayat Oppenheimer sebagai pelajar fizik di Eropah, ragam kehidupannya ketika masih muda yang kemudian menghantui dirinya yang tua, turun naik hubungannya dengan para saintis terkemuka zamannya; dan bagaimana nama Oppenheimer diredam dan menghilang dari buku sains. 

Makanya Nolan dengan kecekapan bermain latar masa menghadirkan tiga segmen iaitu Oppenheimer muda; Oppenheimer di Los Alamos melaksanakan Projek Manhattan di lapangan; dan Oppenheimer yang menjadi seperti Galileo Galilei, saintis tahun 1633 yang dibicara dan diaibkan oleh gereja Katolik di Rom. 

Di sela itu, untuk tidak terlalu kering kisah hidup Oppenheimer yang gasang itu ditonjolkan. Harus diingat Nolan perlu pula mengimbangi mesej besar biografi ini iaitu persoalan lojik, kepercayaan dan visi sains nuklear yang menghantui kita hari ini.

Oleh sebab filem ini adalah tentang dosa Oppenheimer (zina, kecurangan dan pembunuhan), ia juga memerlukan tema yang kuat. Makanya, Nolan sesungguh hati menunjukkan nasib Prometheus, si pencuri api yang akhirnya dihukum. 

Oppenheimer lakonan cemerlang Cillian Murphy bukan sahaja perlu diaibkan di mahkamah olok-olokan McCarthyisme, ekoran Red Scare; peribadi Oppenheimer yang kaki wanita itu juga perlu ditelanjangkan ke umum. 

Prestij Bapa Bom Atom itu direntap daripadanya serta-merta sebaik sahaja dia keluar dari Rumah Putih memberitahu Presiden Harry Truman, “Aku dapat merasakan darah di tangan aku”. Tiba-tiba sahaja Oppenheimer adalah perisik Soviet dan seorang komunis.

Justeru dengan kekuatan penulisan dan akar cerita yang hebat, Nolan menggarap kejatuhan moral seorang lelaki yang disanjung tinggi sebagai penamat perang, kepada seseorang yang mencetuskan perang dan kemungkinan kehancuran dunia; satu ayat yang diberitahu oleh Oppenheimer kepada Einstein di tepi sebuah paya; yang disangkakan oleh Lewis Strauss, pengerusi Atomic Energy Commission pakatan untuk menghinanya. 

Dua aspek dramaturgi ini sudah memadai untuk menjadikan Oppenheimer (2023) sebuah filem yang cemerlang. 

Dengan gaya penulisan Nolan yang suka memainkan masa dan elemen hitam putih yang berbekas, filem ini sangat menghantui. Ia dilengkapkan keghairahan Nolan dengan penataan bunyi dan muzik. Maka letusan bom Projek Trinity di Los Alamos menggantikan geruh dahsyat di Hiroshima dan Nagasaki. 

Kelesuan dan nanar Oppenheimer berjaya digarap Nolan dengan menakjubkan dengan bantuan Richard King, menerusi suntingan bunyi filem ini; berkawan sekali dengan kerja muzik Ludwig Göransson yang pasti menjadi klasik. 

Terdapat sesetengah pengkritik mengecam Nolan kerana campuran di atas menenggelamkan dialog di dalam filem, tetapi yang jelas teknologi kamera IMAX yang dimanfaatkan Nolan amat membantu detik ujian bom atom diletupkan di Los Alamos sehinggalah ke masa Oppenheimer disambut dengan hentak kaki dan tepukan tangan audien yang keseronokan kerana berjaya melepaskan sebutir kematian untuk ratus ribu orang awam yang tidak bersalah.

Filem ini dilakonkan oleh sekumpulan karyawan seni yang tidak ada taranya selain Murphy. Terdapat Emily Blunt sebagai isteri Oppenheimer, Kitty; Matt Damon sebagai Leslie Groves pengarah Projek Manhattan; dan Robert Downey Jr sebagai Lewis Strauss. Kesemua mereka memain peranan dengan berjaya sehingga saling melengkapi. Hatta watak sekecil Presiden Truman oleh Gary Oldman dan Einstein lakonan Tom Conti memberi kesan sensasi dan emosi yang kekal.

Filem Oppenheimer (2023) adalah sebuah kerja wacana yang berat. Ia bukan filem aksi letup sini sana. Jika anda ingin menguji kemampuan kognitif pasangan atau kekasih anda, filem ini boleh dijadikan parameter penilaian kalau-kalau mereka mampu mencerna subjek sejarah, sains fizik, falsafah, persuratan, geo-politik dan undang-undang.

Oppenheimer memahamkan kepada kita mengapa saintis yang mencampuri urusan politik akan akhirnya berdepan kecelakaan dan ditandai red flag oleh pihak berkuasa.

Satu dosa yang mungkin dilakukan Nolan ialah beliau tidak memberi banyak suara kepada Albert Einstein, yang rapat dengan Oppenheimer sembilan tahun terakhir hayatnya, iaitu sebelum Oppenheimer diburukkan oleh pihak berkuasa Amerika sendiri. Akan tetapi itu dapat dimaafkan memandangkan filem ini akan berpanjangan setebal biografi. 

Lain daripada itu, biopik mengenai dosa-dosa Oppenheimer ini cukup sempurna. Jarang ada pengarah filem dapat mengungkap dosa sesempurna ini. – 22 Ogos 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen