Presiden Jokowi mulakan lawatan pertama ke Afrika


Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan lawatan negara ke empat negara Afrika - Kenya, Tanzania, Mozambique dan Afrika Selatan. – Gambar fail AFP, 20 Ogos, 2023.

PRESIDEN Joko Widodo atau Jokowi sedang menuju ke Afrika untuk mengadakan lawatan kerja ke empat negara di rantau itu, menjadi lawatan pertamanya ke benua itu sebagai presiden, lapor agensi berita Antara.

Ketua negara itu mengumumkan agendanya semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara pada Ahad.

“Hari ini, bersama delegasi terhad, saya akan berlepas ke Afrika untuk melawat Kenya, Tanzania, Mozambique dan Afrika Selatan. Ini akan menjadi lawatan presiden pertama saya ke rantau Afrika,” katanya yang disiarkan oleh saluran YouTube Sekretariat Presiden pada Ahad.

Jokowi berkata, lawatannya ke Afrika didorong oleh kenyataan Indonesia memiliki hubungan sejarah yang panjang dengan benua itu, memandangkan negara itu adalah pelopor dan tuan rumah bagi Persidangan Asia-Afrika di Bandung, Jawa Barat pada 1955.

Beliau mengulangi kenyataan persidangan antarabangsa itu memainkan peranan penting dalam pembentukan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di tengah-tengah ketegangan semasa Perang Dingin.

Jokowi kemudian menjelaskan lawatannya ke Kenya dan Tanzania merupakan susulan kepada keputusan untuk menubuhkan kedutaan oleh kedua-dua negara itu di Jakarta tahun lalu.

Selain itu beliau berkata Mozambique adalah negara Afrika pertama, yang mana Indonesia menandatangani Perjanjian Keutamaan Perdagangan (PTA).

Selepas melakukan lawatan ke empat negara itu, presiden dijadualkan menyertai acara sidang kemuncak BRICS, pakatan yang terdiri daripada negara membangun: Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.

Beliau juga akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin negara di luar sidang kemuncak BRICS di Johannesburg, Afrika Selatan dari 22 hingga 24 Ogos.

Presiden dan delegasinya akan pulang ke Indonesia pada 25 Ogos. – Bernama, 20 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen