Persatuan masyarakat sivil tawar hati dengan Pakatan Harapan


Sheridan Mahavera

Kebanyakan aktivis yang selama ini menyokong ahli politik Pakatan Harapan mula merasakan pembangkang tidak fokus untuk memenangi PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2017.

PEMIMPIN persatuan sivil dan aktivis selama ini berdiri bersama ahli politik Pakatan Harapan (PH) dalam pelbagai isu kini putus harapan yang gabungan pembangkang mampu memberi cabaran besar terhadap kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kekecewaan aktivis veteran terhadap PH semakin ketara ketika gabungan pembangkang berdepan dengan satu demi satu isu yang tidak berkesudahan, dengan terkini pertelingkahan antara Bersatu dan PKR mengenai siapa yang patut jadi calon perdana menteri.

The Malaysian Insight menemu bual aktivis yang pernah berganding bahu dengan ahli politik PH dalam beberapa kempen mendesak lebih kebebasan awam, PRU lebih bersih dan hak asasi manusia.

Mereka percaya pembangkang membazirkan satu peluang bersejarah untuk menewaskan BN yang diterajui Najib Razak, dengan pergaduhan dalaman dan ketidakmampuan menonjolkan diri sebagai alternatif lebih baik berbanding BN yang dilanda pelbagai skandal.

Apa yang juga lebih menyakitkan hati ialah PH mempertimbangkan untuk meletakkan Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun sebagai perdana menteri, bukannya seorang ahli politik lebih muda untuk mentadbir negara.

“Adakah negara kita terlalu bankrap sehinggakan kita tidak boleh cari sesiapa yang lebih muda untuk jadi perdana menteri,” kata aktivis Haris Ibrahim.

“Sehinggakan kita terpaksa mengambil lelaki yang menghancurkan negara selama 22 tahun. Ini yang mereka katakan harapan untuk negara,” kata pengasas gerakan Asalkan Bukan Umno yang berkempen menentang BN pada 2013.

Calon perdana menteri

Banyak laporan timbul mengatakan parti PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu melengahkan pendaftaran rasmi pemegang jawatan tertinggi mereka.

Pendaftaran itu membolehkan PH mempersembahkan kain rentang bersatu berserta logo dan barisan kepimpinan, di mana penganalisis berkata ia amat penting bagi meyakinkan pengundi yang mereka mampu menjadi saingan BN.

Sebab utama penangguhan itu ialah parti dalam PH tidak dapat bersetuju siapa yang patut jadi perdana menteri jika ia memenangi PRU14.

PKR, DAP dan Amanah mahukan bekas ketua pembangkang yang kini dalam penjara, Anwar Ibrahim, yang juga calon PM pada 2013, tetapi Bersatu mendesak untuk meletakkan pengerusinya Dr Mahathir atau presidennya Muhyiddin Yassin.

Haris, yang juga bekas peguam berkata ketidakmampuan PH menyelesaikan isu calon PM mengesahkan kecurigaan yang parti komponennya hanya berminat memegang kuasa.

“Jadi di mana harapan untuk rakyat?”

Aktivis kebebasan awam Syahredzan Johan berkata kegagalan PH untuk menunjukkan kepimpinan bersatu adalah kelemahan utamanya dan BN mengeksploitasi keadaan itu.

“BN akan kata kepada pengundi walau apa juga kelemahan kami, kami adan struktur jelas, bukan macam PH,” kata peguam itu.

“Jadi rakyat akan tergoda untuk mengundi BN kerana pada mereka PH bukan alternatif sebenar kerana mereka tidak nampak seperti boleh bekerja bersama.”

Syahredzan berkata isu calon perdana menteri boleh diselesaikan dengan seorang calon yang dikelilingi oleh pasukan kuat.

“Calon PM mereka mungkin tidak ada kelayakan reformasi besar. Tetapi jika dia disokong satu pasukan bereputasi kuat untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan, pasukan itu menjadi alternatif berdaya maju berbanding BN yang tidak pernah menyokong isu sedemikian,” katanya.

Pergaduhan ini berlaku ketika Perdana Menteri Najib Razak dan jumlah mereka yang menyukai BN berada pada tahap terendah dalam sejarah.

Kaji selidik Merdeka Center pada Ogos 2015 menunjukkan rating pentadbiran Najib paling rendah dengan 23%. Sejak itu, keahlian mereka tidak sampai penanda 30%.

Pengundi marah BN kerana antara lain pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), berakhirnya subsidi gula dan minyak masak, inflasi tinggi dan tuduhan terhadap Najib terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jenayah rasuah besar Najib tidak boleh dibiarkan, tetapi PH nampaknya tidak dapat bersatu dalam hal itu,” kata pejuang anti rasuah Cynthia Gabriel.

“PH tidak nampak seperti fokus untuk memenangi pilihan raya,” kata pengasas bersama Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) itu.

PH berkata ia pada masa ini sedang mencari manifesto bersama yang terbaik dan platform dasar, dan akan mempersembahkannya kepada umum tidak lama lagi.

Aktivis perubahan pilihan raya Maria Chin Abdullah berkata persoalannya ialah sama ada PH masih sempat untuk menampilkan imej bersatu untuk memenangi hati pengundi sebelum tarikh PRU diumumkan.

Maria satu-satunya aktivis yang ditemu bual yang masih optimis terhadap PH. – 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen