KIRA-KIRA 90 pendatang yang menaiki sebuah kapal layar dan mengalami kesukaran di kawasan 18.5 kilometer di tenggara pulau Amorgos di Greece, diselamatkan oleh beberapa kapal yang melalui kawasan itu selain bot peronda pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penyiar negeri ERT yang memetik kenyataan pengawal pantai melaporkan pendatang yang berasal dari kawasan Asia Barat dan Afrika itu yang dirujuk kepada pengawal pantai, ditempatkan di kem di pulau Leros.
Kementerian Migrasi Greece merekodkan ketibaan pendatang yang tinggi yang menyeberang dari pantai Aegean Turkiye ke pelbagai pulau di Yunani dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut kementerian itu, sehingga pertengahan Ogos, seramai 6,669 pendatang menetap di pusat resepsi di pulau Lesbos, Chios, Samos, Leros dan Kos dan jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding Ogos tahun lepas, seramai 2,964 orang.
Kumpulan penyeludup membawa pendatang tersebut dari Turkiye, Lubnan, Syria, Mesir dan Libya ke negara Kesatuan Eropah di Cyprus, Greece dan Itali.
Pendatang dikatakan membayar antara €500 dan €7,000 (AS$543 hingga AS$7,609) untuk perjalanan itu, bergantung kepada jarak, menurut pegawai polis dan pengawal pantai. – Bernama, 19 Ogos, 2023.
Komen