POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki, dan rampasan dadah jenis Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM30.6 juta, dalam satu serbuan di Klebang, Chemor dekat sini, tiga hari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata kedua-dua suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 pagi di sebuah rumah banglo sewa yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah.
Beliau berkata polis merampas dadah jenis pil Erimin 5 seberat 413.92 kilogram (kg) serta serbuk Erimin 5 dianggarkan seberat 25.33 kg yang bernilai kira-kira RM30.6 juta.
“Polis turut merampas pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk memproses dadah serta dua laras senjata api tiruan, sebuah kereta jenis Toyota Altis, sebuah motosikal jenis EX5, dua bentuk cincin dan wang tunai RM1,624 dipercayai diperoleh daripada hasil jualan dadah,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua JSJN negeri ACP Lee King Chuan.
Mohd Kamarudin berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai terlibat dengan aktiviti itu sejak Mac lepas dan mereka dipercayai mempelajari cara memproses dadah menerusi media sosial dan rakan-rakan sebelum ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan ujian saringan mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamine.
“Dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai 2.2 juta orang penagih dadah. Suspek direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya. – Bernama, 18 Ogos, 2023.
Komen