
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, The Malaysian Insight mendekati muka baru politik yang dilatih parti mereka untuk menjadi calon. Salah satu keluhan dalam kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda politik yang berwibawa baik di parti pemerintah mahupun pembangkang, malah ketua utama parti politik kini adalah mereka yang sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an lagi. Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia?
Dalam rencana terbaru ini, The Malaysian Insight menemubual Naib Ketua Pemuda PKR Perak Sandrea Ng yang bercakap tentang perlunya anak muda bangkit melawan kerana masa depan mereka sedang tergadai.
ANAK muda harus memainkan peranan menentukan masa depan Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini dengan menyatakan suara melawan penindasan dan bangkit menuntut pemerintahan sebuah kerajaan yang lebih telus, kata Naib Ketua Pemuda PKR Perak Sandrea Ng.
Katanya, anak muda adalah antara golongan yang paling terjejas dengan dasar kerajaan dalam bidang pendidikan dan ekonomi, dan akan menanggung bebannya pada masa hadapan.
“Anak muda di Malaysia banyak menghadapi tekanan dan masalah termasuk pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan sebagainya.
“Semua ini berpunca daripada polisi kerajaan yang tidak saksama malah tidak mengambil berat tentang suara anak muda.
“Maka, untuk mengubah keadaan sekarang, anak muda harus menyedari punca masalah yang sebenar dan mengambil tindakan untuk sertai politik supaya tuntutan anak muda didengar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sandrea, 36, berkata anak muda tidak harus menganggap mereka tidak ada kena-mengena dengan politik dan tidak harus bersikap menjauhkan diri daripada politik kerana ia akan menentukan masa depan mereka.
Anak muda sebaliknya perlu ambil tahu mengenai isu semasa terutamanya melibatkan dasar-dasar negara, tambahnya yang bergiat aktif dalam gerakan mahasiswa sebelum terjun aktif dalam politik.
“Pengalaman itu (ketika mahasiswa) banyak membuka mata saya kepada ketidakadilan dalam masyarakat dan penindasan rakyat oleh rejim zalim Barisan Nasional (BN),” katanya, yang pernah aktif dalam Gerakan Mahasiswa Maju di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sandra, anak seorang penjaja kelahiran Mersing, Johor menjelaskan pengalamannya dalam gerakan mahasiswa semasa menuntut di UPM mengasuhnya untuk menjadi lebih tekad membawa perubahan untuk Malaysia yang lebih baik.
Bagi naib ketua PKR Perak sejak 2013 itu, isu kos sara hidup adalah menjadi misi utamanya untuk membangunkan masyarakat setempat Dewan Undangan Negara (DUN) Teja yang didiami lebih 30,000 penduduk.

“Reformasi institusi adalah prioriti utama dalam agenda perubahan Malaysia di mana sistem yang korup dan menekan rakyat wajib diperbaharui dengan segera.
“Saya akan memantapkan sektor ekonomi terutamanya pertanian dan pelancongan di DUN Teja yang potensinya terserlah namun masih kurang dibangunkan,” katanya.
Sandrea disebut-sebut bakal calon PKR untuk kerusi DUN Teja dalam kawasan Parlimen Gopeng, mengantikan Chang Lih Kang yang dijangka beralih ke kerusi Parlimen Tanjung Malim pada PRU14.
Wanita tinggi lampai ini sudah menetap hampir 10 tahun di Gopeng dan pernah berkhidmat sebagai pegawai khas exco kerajaan Negeri Perak semasa Pakatan Rakyat mentadbir pada tahun 2008.
Beliau kini adalah Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gopeng Lee Boon Chye sejak lima tahun lalu.
Kalau terpilih sebagai calon partinya dan diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili mereka, Sandrea bercita-cita mahu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda setempat dan sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.
“Saya juga ingin meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi memudahkan kehidupan seharian warga DUN Teja,” kata graduan Ijazah Muda Sains Pengajian Makanan itu.
Beliau melihat daerah Teja ada potensi untuk dimajukan sebagai hub pertanian untuk penanaman herba, sayur-sayuran dan ikan hiasan, serta sebagai pusat pelancongan dengan adanya Gua Tempurung dan Taman Herba Perak yang boleh diperkasakan.
“Selama ini kedua-dua industri ini lebih pada sekala kecil dan penanaman tradisional. Jika ia dibangunkan dengan sebetulnya, ia mampu memberi peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong dan pengusaha pertanian,” katanya. – 29 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan