Ke mana Muda selepas PRN?


Ruhan Shahrir

Natijahnya Muda kini tersudut di persimpangan jalan. Bukan lagi jalan tegak tetapi jalan berliku dengan hanya dua pilihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2023.

MUDA hilang deposit di semua kerusi DUN yang mereka tandingi. Keputusan yang mereka lakukan untuk menyertai PRN enam negeri di buat terburu-buru. Tanpa memikirkan kesannya di masa hadapan, Muda kini berada dalam dilema yang cukup rumit.

Kemudaan Muda menjadikan mereka terlalu naif dalam membaca politik Malaysia secara menyeluruh, terlalu mentah untuk merangka strategi jangka panjang dan terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan.

Natijahnya Muda kini tersudut di persimpangan jalan. Bukan lagi jalan tegak tetapi jalan berliku dengan hanya dua pilihan. Pilihan pertama, terus bergerak secara bersendirian. Pilihan kedua, bergerak secara gabungan. Dalam konteks politik pilihanraya Malaysia, Muda tidak ada pilihan lain.

Kecuali Muda memilih untuk tidak lagi menumpukan kepada pilihan raya sebaliknya menjadi sebuah parti “vanguard”, yakni sebuah parti barisan depan yang menggalang aksi revolusiner.

Tetapi melihat kepada komposisi Muda yang ramai anggotanya terdiri daripada kelas menengah yang menikmati pelbagai kelebihan, kemudahan dan kesenangan hidup, tidak mungkin mereka bersedia menjadi hujung tombak kepada sebuah gerakan politik revolusiner.

Kesan bersendirian

Justeru hanya dua pilihan yang disebutkan di atas sahaja yang terbentang buat Muda. Pilihan bersendirian atau solo telah pun diteroka pada PRN yang baru lepas. Kesannya adalah kehilangan deposit untuk semua calonnya.

Kehilangan deposit juga adalah cerminan kepada sejauh mana Muda diterima khalayak pengundi. Kehilangan deposit juga menunjukkan kekalahan Muda adalah suatu bentuk kekalahan yang cukup parah. Kesannya mungkin sahaja demoralisasi kepada sebahagian daripada anggotanya.

Kepimpinan Muda mungkin bisa menunjukkan wajah tegar pantang menyerah di khalayak awam. Tetapi hakikatnya bukan mudah untuk mengembalikan semula semangat semua anggotanya setelah mengalami kekalahan yang cukup parah itu.

Kehilangan semangat, kehilangan kepercayaan, demoralisasi dan tentu juga akan ada sebahagian daripada anggotanya yang melihat Muda sebagai sebuah parti yang tidak punya masa depan serta meragui peluangnya di pilihan raya akan datang. Semua kesan-kesan ini bukanlah mudah untuk diuruskan.

Apatah lagi anggota Muda ramai yang terdiri daripada Gen Y, Gen Z, Gen Apps, Gen TikTok yang sifat dan watak mereka cenderung bertukar-tukar kerja, berubah-ubah pendirian dan beralih-alih organisasi akan memperparahkan lagi kedudukan Muda pasca-PRN.

Kemungkinan akan ada anggota kepimpinan Muda baik di tingkat atas mahu pun pertengahan yang akan mengambil keputusan untuk meninggalkan parti atau menyepikan diri atau tidak lagi aktif di dalam kegiatan membangunkan parti adalah sesuatu yang perlu dihadapi apabila Muda tewas teruk di kesemua DUN yang ditandingi.

Krisis kepercayaan terhadap parti umumnya adalah sesuatu yang lumrah apabila parti mengalami kekalahan yang teruk. PKR misalnya kehilangan ramai pimpinan awalnya, malahan pendiri awalnya juga turut mengundurkan diri, apabila kalah semua kerusi parlimen kecuali di Permatang Pauh pada pilihan raya 2004.

Namun yang membezakan PKR dan Muda di waktu krisis kepercayaan melanda parti tersebut pasca PRU 2004 ialah PKR tidak bersendirian. Ia masih mempunyai parti lain yang mendukungnya di dalam gabungan Pakatan Rakyat ketika itu walaupun hanya tinggal satu kerusi sahaja di Parlimen.

Muda tiada pilihan

Justeru, pada hemat saya Muda sebenarnya tidak ada pilihan. Memilih untuk bersendirian di dalam politik pilihan raya sudah pun terbukti gagal teruk – Muda hilang deposit. Pilihan yang tinggal untuk terus kekal relevan di dalam lanskap politik Malaysia adalah dengan bergabung dalam suatu pakatan atau persefahaman bersama dengan parti lain yang strategik.

Bergabung akan memberikan Muda sesuatu yang ia tak miliki – sokongan dana kolektif yang lebih besar, akar umbi tempatan di kawasan yang ditandingi, jaringan dengan ketua dan persatuan masyarakat tempatan, komunikasi dan media yang lebih cekap dan terpusat, jentera untuk kempen, ceramah dan mobilisasi pengundi.

Kesemua ini adalah antara unsur penting yang perlu dimiliki dalam konteks politik pilihan raya di Malaysia.

Persoalannya bergabung dengan siapa? Hanya ada dua gabungan sahaja yang memungkinkan Muda untuk menempati kerusi di parlimen atau dewan undangan negeri di pilihan raya akan datang – Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Bergabung bersama PN

Bergabung dengan PN sebenarnya lebih strategik secara politiknya untuk Muda. Sebahagian daripada matlamat berpolitik adalah memperolehi kuasa di parlimen atau dewan undangan negeri untuk menggubal dasar negeri dan negara.

Bersama PN akan mengurangkan politiking merebut kawasan bertanding kerana kedua-dua parti utama di dalam PN tersebut, yakni PAS dan Bersatu lebih tertumpu kepada kawasan majoriti Melayu dan kawasan luar bandar dan separa-bandar.

Manakala Muda pula lebih tertumpu kepada kawasan bandar dengan pengundi campuran, yakni kawasan yang bukan menjadi tumpuan khusus PAS dan Bersatu.

Pilihan ini tentunya berisiko khususnya tindak balas daripada anggota Muda sendiri dan penyokongnya yang “fobia” kepada PAS dan Bersatu. Wibawa Muda yang diperjuangkan selama ini juga pasti tercalar.

Namun, jika matlamat Muda adalah kuasa yang akan membolehkannya terlibat di dalam proses pembuatan keputusan dasar, maka pilihan ini bukanlah sesuatu yang jijik untuk dipertimbangkan.

Pada akhirnya politik adalah seni untuk memperolehi kuasa. Dan parti hanyalah kenderaan untuk mencapai matlamat tersebut.

Bergabung dengan PN lebih memungkinkan Muda untuk mendapat lebih banyak kerusi dan tidak mustahil juga menang di dalam pilihan raya akan datang jika kita melihat tren pengundian pada PRN yang baru lepas yang lebih menyebelahi PN.

Bergabung bersama PH

Pilihan lain, yakni bergabung dengan PH kurang menjanjikan kerusi yang lebih banyak buat Muda. Memandangkan kawasan yang menjadi tumpuan Muda adalah juga kawasan yang turut menjadi tumpuan PKR dan DAP khususnya, perebutan kerusi tak terelakkan.

Namun bergabung dengan PH memberikan suatu bentuk keselarian matlamat buat Muda kerana kedua-dua pihak tidak punya banyak perbezaan yang ketara dari sudut prinsip dan dasar yang ingin diperjuangkan. Malahan wibawa Muda juga tak tercalar jika bergabung dengan PH.

Cumanya apakah parti dalam PH khususnya sayap pemuda mereka sanggup menerima Muda setelah apa yang Muda lakukan pada PRN yang baru lepas apabila Muda bertindak untuk bertanding di kawasan yang turut ditandingi parti PH dan memecahkan undi mereka.

Buat masa sekarang, persoalan ini tentunya rumit untuk dijawab, apatah lagi di waktu emosi masih lagi bergelora.

Politik itu cair

Namun, politik bukanlah sesuatu yang statik. Politik sentiasa cair. Waktu dan kehendak kepada kuasa akan memungkinkan politik untuk menjadi lebih cair lagi.

Jika Anwar Ibrahim boleh memaafkan Mahathir, sosok yang memenjarakan beliau bertahun-tahun dan mengaibkan keluarga beliau, kesilapan Muda pada hemat saya jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan dosa Mahathir kepada Anwar.

Kesilapan Muda bertanding di kawasan PH tidak menumbangkan kerajaan perpaduan. Malaysia Madani tetap kekal menjadi kerajaan persekutuan untuk tempoh lima tahun lagi.

Dan tempoh lima tahun tersebut adalah suatu jangka waktu yang cukup panjang. Waktu bukan hanya bisa mencairkan politik tetapi juga meredakan kemarahan serta menyembuhkan luka. Kuncinya di sini jangan lagi terburu-buru.

Ukur baju di badan sendiri. Bertumpu dahulu baru melompat. – 18 Ogos, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen