Pihak berkuasa cari kotak hitam pesawat terhempas, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihak berkuasa sedang sedang mengesan kotak hitam pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie, Shah Alam petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Ogos, 2023.

PIHAK berkuasa sedang mengesan kotak hitam pesawat ringan yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Shah Alam petang tadi, yang meragut 10 nyawa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pihak berkuasa juga sedang menyiasat punca insiden itu di mana lapan penumpang dan dua pengguna jalan raya terkorban.

“Laporan awal menunjukkan pesawat itu melencong kea rah kanan daripada laluan penerbangan sebelum ia terhempas di lebuh raya,” katanya pada sidang akhbar di lapangan terbang Subang hari ini.

“Saya sahkan lapan penumpang berada di dalam pesawat – dua juruterbang dan enam penumpang – terkorban. Identiti mangsa disahkan tetapi proses kenal pasti masih dijalankan.

“Bagi dua pengguna jalan raya, seorang lelaki di dalam kereta dan seorang penunggang motosikal, identiti mereka belum disahkan lagi dan pengumuman akan dibuat oleh polis.”

Pesawat itu, Beechcraft Model 390, dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke lapangan terbang Subang ketika insiden itu berlaku.

Pesawat itu dikendalikan Jetvalet Sdn Bhd dan berlepas dari Langkawi pada 2.08 pagi.

Pesawat menghubungi menara kawalan trafik udara Subang kali pertama pada 2.47 petang. Kebenaran mendarat diberikan pada 2.48 petang.

Pada 2.51 petang, menara kawalan udara Subang mengesan asap dari tempat nahas, tetapi pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan.

Loke turut menekankan semua protokol keselamatan diambil susulan insiden itu.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Hospital di Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Norazman Mahmud ketika ditanya berkenaan dua juruterbang berkenaan, berkata kedua-duanya berpengalaman luas.

“Saya tahu mereka secara peribadi dan mereka memang juruterbang yang berpengalaman,” katanya. – 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen