Kerajaan perlu jelaskan isu salah guna kad pengenalan pada PRN, kata Bersih


Alfian Z.M. Tahir

Terdapat laporan pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka digunakan oleh individu lain dalam pilihan raya negeri baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2023.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut penjelasan daripada kerajaan berhubung laporan beberapa pengundi yang tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka digunakan oleh pihak lain pada pilihan raya negeri baru-baru ini. 

Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan jawapan berhubung isu itu.

“Bersih amat bimbang dengan laporan bahawa pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka digunakan oleh individu lain dalam pilihan raya enam negeri.

“Penyalahgunaan kad pengenalan orang lain untuk mengundi dalam pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(l) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya, iaitu mengundi di bahagian pilihan raya di mana seseorang itu tidak berhak mengundi dan kesalahan penyamaran,” katanya.

Menurut Bersih, tiga pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka digunakan menyebabkan nama mereka ditanda daripada senarai mengundi untuk pilihan raya kali ini.

Tiga pengundi terbabit adalah adalah dari pusat mengundi SMK Seberang Marang, Terengganu, SK Kampung Raja Uda, Selangor, dan SK Taman Mahsuri, Kedah.

“Polis juga menerima 94 laporan berhubung kesalahan sama. Pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu, kami turut menerima tiga laporan nama pengundi ditanda daripada senarai, menunjukkan ada pihak lain yang telah mengundi bagi pihak mereka.

“Laporan semasa ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding pilihan raya sebelum ini, seperti PRU15, Melaka, Sarawak dan pilihan raya negeri Johor,” tambah Bersih.

Bersih berkata SPR perlu segera menjalankan siasatan dalaman di pusat pengundian di mana kesilapan dilaporkan terhadap pegawai pilihan raya, terutama kerani pengundian (KP) 1 dan 2, yang menurut Bersih bertanggungjawab untuk mengesahkan identiti setiap pengundi dan mengenal pasti muka pada kad pengenalan pengundi.

“Siasatan perlu dijalankan sama ada KP1 dan 2 telah menjalankan tugas berdasarkan akta dan peraturan yang ditetapkan.

“JPN yang berada di bawah KDN juga perlu menjalankan siasatan yang telus dan menjelaskan isu ini kepada orang ramai.

“Penyalahgunaan kad pengenalan dan penyamaran untuk mengundi dalam pilihan raya adalah satu kesalahan serius kerana ini telah menafikan hak pengundi sebenar untuk mengundi, serta menjejaskan integriti daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya itu sendiri,” kata Bersih.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Selangor mempunyai jumlah laporan paling banyak dengan 48 kes, diikuti Pulau Pinang (20), Negeri Sembilan (enam), Kelantan (dua), dan masing-masing sembilan kes di Kedah dan Terengganu. – 16 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen