Kerajaan perlu semai 'nasionalisme Malaysia' untuk menang PRU16, kata pemimpin DAP


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan perpaduan perlu menerima dan melaksanakan perubahan yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang mahukan masa hadapan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2023.

KERAJAAN perpaduan mesti mendapat sekurang-kurangnya separuh daripada undi Melayu dan mengekalkan tahap sokongan di kalangan bukan Melayu jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang, kata pakar strategi DAP Liew Chin Tong.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan turut menegaskan pakatan yang menang memerlukan wacana Bangsa Malaysia agenda ekonomi yang mampu meyakinkan mereka.

“Kerajaan perpaduan perlu menerima dan melaksanakan perubahan yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang mahukan masa hadapan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

“Untuk pengundi bukan Melayu, mereka juga perlu diyakinkan supaya tidak tergoda untuk memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRU16.

“Bagi menghasilkan sokongan ini, PH-BN perlu menyemarakkan “nasionalisme Malaysia” yang mampu mengumpulkan lebih separuh pengundi Melayu dan sebanyak mungkin pengundi kaum lain,” kata Liew dalam kenyataannya hari ini.

Kerajaan perpaduan baru-baru ini memenangi pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, walaupun mengekalkan tiga negeri itu, gabungan itu kehilangan sokongan daripada pengundi Melayu kerana banyak kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh PN.

Kerajaan perpaduan juga kalah teruk dalam pilihan raya di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Liew hari ini mendefinisikan nasionalisme Malaysia sebagai mempunyai matlamat bersama untuk membina negara bersama, tanpa mengira latar belakang seseorang.

Beliau berkata untuk memenangi PRU16, kerajaan perpaduan perlu meletakkan dirinya sebagai pembina negara, sambil menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai kedudukan unik untuk memegang peranan itu.

“Kisah perjuangan politik Anwar yang penuh dengan duri dan air mata sepanjang 25 tahun lalu seperti kena dan selari dengan era kejatuhan Malaysia yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah kuasa ekonomi Asia Tenggara pada 1990-an yang sekarang cuba bangkit kembali.

“Bekas musuh politik sudah duduk semeja – PH bersama BN bergabung dengan Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah – untuk membentuk kerajaan perpaduan yang mampu memberi naratif positif kepada rakyat,” katanya.

Sebilangan pakar politik termasuk anggota kerajaan perpaduan menggesa Anwar fokus kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat bagi menentang “gelombang hijau” yang dibawa oleh PN.

Bagaimanapun, mereka juga menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berundur berikutan kegagalan parti Melayu itu menarik pengundi Melayu. – 16 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen