Membina sebuah gabungan mantap untuk PRU16


BAGI memastikan kemenangan meyakinkan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang bertanding atas tiket perpaduan perlu memastikan mereka mendapat sokongan sekurang-kurangnya separuh pengundi Melayu di samping mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu.

Untuk pengundi bukan Melayu, mereka juga perlu diyakinkan supaya tidak tergoda untuk memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRU16.

Bagi menghasilkan sokongan ini, PH-BN perlu menyemarakkan “nasionalisme Malaysia” yang mampu mengumpulkan lebih separuh pengundi Melayu dan sebanyak mungkin pengundi kaum lain.

Dalam konteks ini, nasionalisme Malaysia yang saya maksudkan adalah prihatin, cinta dan sayang kepada negara.

Ia merupakan semangat Malaysia milik kita bersama, saling bantu-membantu antara kita untuk sama-sama memajukan negara tanpa mengira kaum dan agama.

Ia adalah idea Bangsa Malaysia yang sebenarnya.

Perlu juga saya jelaskan di sini tentang undi mengikut kaum. Saya menulis tesis akademik tentang politik dalam PAS di antara 1999 dan 2004 sewaktu pengajian saya di Australian National University.

Perkara pertama yang penyelia tesis saya Dr John Funston, cendekiawan yang banyak menulis tentang politik Melayu, beritahu adalah jangan sekali-kali menganggap undi Melayu adalah sama semuanya.

Setiap pilihan raya sejak 1955, walau sekuat manapun Umno sepanjang masa itu, PAS sentiasa mendapat sekitar 30% undi.

Dan apabila timbul rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap Umno pada masa-masa tertentu, PAS akan menambah pula undi yang diperolehinya.

Oleh itu, undi yang PN peroleh tidak boleh dianggap undi menyokong pendirian PN. Seperti juga undi untuk PH atau Umno tidak boleh diandaikan sebagai undi untuk idea-idea mereka.

Ia mungkin undi protes terhadap parti lawan.

Baru-baru ini, saya mengemukakan teori tentang “had untuk PN” yang menjelaskan keputusan pilihan raya di enam negeri adalah had maksimum yang mampu dicapai oleh PN.

Maksudnya, jika PN terus membangkitkan serta mengadu domba kemarahan orang Melayu, ia tidak akan membawa PN ke mana-mana.

Kemarahan itu akan reda, dan ia akan memberi kemenangan mudah untuk tiket perpaduan pada PRU16 sekiranya PN masih bermain politik kaum.

Namun begitu, jika PN berjaya meyakinkan lebih 30% pengundi Cina dan India, dan pada masa yang sama, mengekalkan sokongan Melayu terhadapnya, ia berpeluang membentuk kerajaan pada PRU16.

Tetapi, ironi untuk PN, jika ia mahu memikat hati pengundi bukan Melayu, ia tidak boleh lagi meneruskan politik kemarahan orang Melayu. Ia perlu sederhana seperti PH-BN.

Pakatan mendapat sokongan di antara tahun 2008 dan 2022 atas kemarahan rakyat terhadap korupsi dan salah guna kuasa kerajaan, termasuk reaksi bukan Melayu kepada politik Umno sebagai tulang belakang kerajaan yang berganjak ke arah “kanan” apabila terhunusnya keris Hishammuddin Hussein pada perhimpunan agung Umno 2005.

Pada masa itu Umno cuba mempertahankan dirinya dengan menghala kemarahan terhadap kaum bukan Melayu, terutama terhadap DAP yang menjadi bahan momokannya.

Kini apabila Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, PN pula mengambil alih platform anti-korupsi, khususnya dengan menuding jari ke arah Umno, di samping terus membangkitkan kemarahan Melayu terhadap kaum bukan Melayu.

Sejak 2008, perjalanan pilihan raya di Malaysia menumpukan kepada kempen negatif.

Biasanya, ia bersifat mengundi sesebuah parti itu kerana tidak suka dengan parti atau calon/pemimpin parti lain. Tiada siapa percaya pengundi boleh membuat pilihan atas kempen positif.

Hakikatnya, penyokong PH tidak boleh selamanya berharap akan ada satu lagi skandal besar seperti 1MDB yang dapat menyatukan suara rakyat melawan satu musuh.

Penyokong Umno pula masih tidak tahu bagaimana untuk menerima realiti yang momok ciptaan mereka dahulu, iaitu DAP, kini menjadi rakan seperjuangan dalam kerajaan perpaduan.

Bagi penyokong PN pula, mereka tahu gabungan itu tidak boleh bermain politik kaum buat selama-lamanya semata-mata kerana melawan Umno dan DAP.

Segalanya ini merupakan realiti yang pahit untuk semua parti.

Kempen pilihan raya memang bukan medan untuk membuat pilihan yang rasional. Ia penuh dengan emosi. Tetapi emosi tidak semestinya emosi yang negatif.

Menaruh harapan, misalnya, merupakan emosi yang positif. Untuk terus maju, PH-BN atas tiket perpaduan perlu mengubah fikiran, iaitu ia tidak boleh lagi menang dengan hanya membandingkan diri dengan PN.

Maksudnya, ia tidak boleh menjual idea bahawa, kerana PN lebih buruk, pengundi perlu memilih PH. Kerajaan perpaduan perlu menang dengan cara menjadikan dirinya diterima baik oleh semua kaum, seramai yang mungkin.

Memujuk emosi rakyat menerima nasionalisme Malaysia adalah sama seperti berusaha menghasilkan gabungan pengundi untuk memilih kerajaan perpaduan.

Untuk memenangi PRU16, kerajaan perpaduan perlu meletakkan diri sebagai pembina negara.

Jika kita melihat sejarah politik negara, gabungan yang membentuk kerajaan menang besar pada PRU 1964, 1974, 1982, 1995 dan 2004.

Pada setiap PRU ini, gabungan Perikatan/BN menang kerana berjaya meyakinkan lebih 50% pengundi daripada setiap kaum.

Pada PRU 1964, berikutan konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia serta era pancaroba Perang Dingin, rakyat Malaysia bersatu hati menyokong parti kerajaan dengan memberi undi kepada Perikatan.

Pada PRU 1974, selepas peristiwa 13 Mei dan kewujudan gabungan baharu BN, parti pemerintah menang besar.

Pada PRU 1982 dan 2004, masing-masing menampilkan calon perdana menteri baharu yang menjanjikan era perubahan mendapat kemenangan yang memberangsangkan.

Dan pada PRU 1995, selepas beberapa tahun menikmati kejayaan ekonomi dan harapan untuk Bangsa Malaysia, BN menang 65% undi popular, yang terbanyak pernah dimenangi di negara ini.

Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini berada di tempat dan masa paling sesuai untuk memegang peranan sebagai pembina negara.

Kisah perjuangan politik Anwar yang penuh dengan duri dan air mata sepanjang 25 tahun lalu seperti kena dan selari dengan era kejatuhan Malaysia yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah kuasa ekonomi Asia Tenggara pada 1990-an yang sekarang cuba bangkit kembali.

Kini, apa yang tidak terbayang dulu, sudah menjadi kenyataan.

Bekas musuh politik sudah duduk semeja – PH bersama BN bergabung dengan Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah – untuk membentuk kerajaan perpaduan yang mampu memberi naratif positif kepada rakyat.

Kerajaan perpaduan perlu menerima dan melaksanakan perubahan yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang mahukan masa hadapan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

Malah, mereka ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang berwibawa, aman dan sejahtera.

Gabungan pengundi yang bakal memberi kemenangan kepada perpaduan memerlukan wacana Bangsa Malaysia serta agenda ekonomi yang mampu meyakinkan mereka. Inilah masanya untuk sama-sama kita membina negara. – 16 Ogos, 2023.

* Liew Chin Tong, timbalan setiausaha agung DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen