Sentimen anti-DAP, Zahid Hamidi benam BN di Terengganu


Diyana Ibrahim

Barisan Nasional kalah teruk pada PRN Terengganu baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos 2023.

SENTIMEN anti-DAP dan kemarahan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi antara punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Terengganu, kata pemimpin parti.

Mereka mendedahkan kepada The Malaysian Insight, masalah kerjasama dan juga kelemahan calon antara sebab gabungan parti kerajaan dilenyapkan dalam pilihan raya negeri pada Sabtu.

Selain itu, mereka percaya BN turut melakukan kesilapan kerana menguar-uarkan bekas menteri besar Ahmad Said sebagai calon untuk kembali ke jawatan tersebut.

Veteran Umno Terengganu, Abdul Rahman Bakar mendedahkan faktor penolakan terhadap Zahid bukan sahaja berlaku di kalangan penyokong malah kepada akar umbi parti itu sendiri.

Beliau berkata, kemarahan akar umbi dan penyokong terhadap Zahid disebabkan tindakan presiden itu memecat tokoh-tokoh parti.

“Ramai yang datang jumpa saya kata mereka tak suka Zahid. Tapi bukan saya yang tak suka. Jadi saya pun tanyalah sebab apa tak nak sokong Umno, tak suka Zahid.

“Mereka jawab, penyokong dan sebahagian orang Umno ini kata sebab presiden pecat banyak tokoh dalam parti jadi mereka tidak suka dengan situasi itu, katanya kepada The Malaysian Insight.

Rahman berkata sentimen anti DAP juga merupakan isu yang sangat besar dan tidak boleh diterima oleh rakyat Terengganu yang majoritinya kaum Melayu.

Katanya, mereka tidak boleh menerima kerana diarah menyokong DAP kerana kerjasama peringkat persekutuan selepas berpuluh-puluh tahun diasuh untuk menolak parti itu.

“Mereka rasakan seperti mereka dipaksa untuk mengadai maruah orang Melayu apabila perlu menerima DAP. Semangat orang Melayu Islam itu sangat (kuat) di negeri sini.

“Tambah lagi bila mereka tengok macam di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dimana banyak kerusi dikuasai PH yang ramai bukan Melayu.

“Jadi mereka rasa ada keperluan untuk jaga hak orang Melayu itu di sini, sama macam di Kelantan di Kedah. Bagi mereka kalau bukan orang Melayu yang kena pertahankan siapa lagi,” katanya.

Faktor penolakan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja berlaku di kalangan penyokong malah kepada akar umbi parti itu sendiri, kata pemimpin negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos 2023.

Keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lepas menyaksikan kekalahan teruk BN selepas PAS menang kesemua 32 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama, PAS mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil dengan majoriti lebih besar berbanding semasa PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia merupakan ketiga BN di Terengganu yang bermula sejak PRU14, sewaktu parti itu hanya mampu mengekalkan 10 kerusi DUN dua kerusi Parlimen.

Pilihan raya itu menyaksikan PAS berjaya merampas semula kerajaan negeri apabila menang 22 kerusi DUN di Terengganu.

BN kemudiannya cuba menembus kembali kekalahan mereka dalam PRU15 namun berdepan kekalahan lebih teruk apabila hilang kesemua lapan kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Sementara itu, pemimpin PH negeri yang tidak mahu dinamakan mengakui isu dalaman Umno antara punca kekalahan mereka di negeri pantai timur itu

Beliau berkata isu dalaman parti ini bukan hanya membabitkan di peringkat pusat sahaja bahkan di peringkat pemimpin negeri.

“Kalau di peringkat pusat ia berkait dengan faktor jawatan presiden Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan semasa pemilihan.

“Ia memberi kesan kepada mood ahli Umno terutama di peringkat akar umbi dan penyokongnya.

“Kalau di peringkat kepimpinan negeri ini pula disebabkan pembahagian kerusi dan pemilihan calon yang tidak berstrategi,” katanya.

Beliau memberi contoh, BN tetap meletakkan banyak calon yang bukan pilihan penyokong dan akar umbi kerana pernah kalah dan ada juga tidak pernah menang.

“Bagi BN negeri amalan calon dibuat berdasarkan calon budak kita atau erti kata lain calon itu dipilih kerana berada kem yang sejajar dengan pemimpin,” katanya.

Selain itu, BN juga melakukan kesilapan kerana menguar-uarkan pengerusi Umno Ahmad Said sebagai poster boy dalam kempen PRN.

“Walaupun tidak diumumkan calon menteri besar tapi ia memang dijangka Ahmad akan menjadi calon menteri besar.

“Jadi timbul penolakan disebabkan Ahmad pernah ada rekod yang buruk semasa menjadi menteri besar dulu iaitu berkait dengan isu pembaziran wang kerajaan negeri dan banyak projek gajah putih,” katanya.

Beliau juga mengakui penyokong Umno dan PH sendiri tidak boleh menerima gabungan itu.

“Bagi pengundi PH dan pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama mereka masih lagi janggal untuk menyokong BN yang masih lagi dibayangi dengan isu rasuah dan korupsi.

“Bagi penyokong Umno pula penolakan itu berlaku kerana kelemahan penerangan kerjasama antara PH dan BN,” katanya.

Penerangan yang dilakukan di peringkat kepimpinan tidak konkrit dan sampai di peringkat bawahan, tambahnya.

Katanya lagi, sokongan BN juga paling teruk di saluran anak muda – menunjukkan golongan itu masih menolak parti itu.

PRN menyaksikan peratusan keluar mengundi di Terengganu sebanyak 70% paling tinggi antara enam negeri.

Sebanyak 930,894 pemilih layak mengundi di Terengganu dalam PRN lalu, termasuk 123,575 orang bagi PRK Kuala Terengganu.– 16 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen