Bersih kenal pasti 150 kesalahan sepanjang PRN


Noel Achariam

SPR digesa melihat secara serius untuk menambah baik proses pengundian pos, terutamanya dalam penghantaran undi pos kepada pengundi luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2023.

BADAN pemantau pilihan raya Bersih mengenal pasti kira-kira 150 pelanggaran pilihan raya dilakukan oleh parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Pengerusinya Thomas Fann berkata semasa memantau 10 jenis kesalahan, mereka mendapati semua parti melakukan sebanyak kira-kira 150 kesalahan.

Antara 10 bentuk kesalahan itu ialah membelanja pengundi, cabutan bertuah, pemberian minyak motor, menyediakan makanan dan juga tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, mempamerkan kertas undinya yang sudah ditanda.

Beliau berkata daripada pemerhatian awal, gabungan Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) dan Perikatan Nasional (PN) sama-sama bersalah dalam hal pelanggaran pilihan raya.

“Pelanggaran paling biasa ialah penyalahgunaan sumber negeri untuk berkempen, yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan.

“Selain itu, pengumuman dan peruntukan besar dibuat oleh Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari), Kedah (Sanusi) dan Terengganu (Ahmad Samsuri Mokhtar),” katanya.

PRN berakhir pada Sabtu dengan PH/BN berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sementeri PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata pemerhati masih mengumpul kesalahan mengikut setiap parti bagi pelanggaran di enam negeri.

“Kami sedang menyusun laporan terperinci mengenai pemerhatian pilihan raya dan akan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta didedahkan kepada orang awam dalam masa kira-kira dua bulan.”

Bersih menempatkan 89 pemerhati pilihan raya di lapangan pada hari pengundian dan mereka meliputi 60 kerusi yang dipertandingkan.

Fann berkata SPR perlu melihat secara serius untuk menambah baik proses pengundian pos, terutamanya dalam penghantaran undi pos kepada pengundi luar negara.

“Maklum balas yang masih kami terima ialah pengundi luar negara tidak mempunyai masa mencukupi untuk menghantar balik undi mereka dan ada yang belum menerimanya walaupun selepas hari pengundian.

“SPR juga mesti memberi hak pengundi tidak hadir kepada pengundi luar negeri supaya kita dapat melihat kadar penyertaan lebih tinggi pada pilihan raya. Kemudahan pengundian pos atau pengundian awal harus diberikan kepada pengundi ini.”

Fann berkata semua kesalahan yang dipantau turut dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi terdapat pengurangan ketara aktiviti pembelian undi secara langsung.

“Ini mungkin disebabkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas PRU15 kerana rasuah.”

Semasa PRU15, Bersih mengenal pasti 347 kesalahan pilihan raya termasuk rasuah dan membeli undi, katering dan menawarkan hadiah atau produk, serta pengaruh kerajaan yang tidak wajar.

Pada Sabtu, calon PAS Ahmad Amzad Hashim memenangi semula kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil itu.

Amzad menewaskan calon PH Azan Ismail dengan 47,266 undi. Beliau mengumpul 68,369 undi berbanding Azan 21,103 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun membatalkan kemenangan Amzad berhubung rasuah dalam kempennya tahun lepas. – 16 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen