Apa yang rahsia?


Faisal Tehrani

Di sebalik plot yang boleh dipersoalkan, Rahsia (2023) menawarkan bintang bergemerlapan sebagai pelakon. – Gambar Facebook, 15 Ogos, 2023.

FILEM seram selalunya ada ukuran tersendiri untuk dinilai baik buruknya.  Sukar misalnya untuk menimbangkan kewarasan cerita pada filem seram.

Kita tidak akan mempertikaikan hantu yang bergentayangan terbang misalnya kerana ia memang keperluan. Pun dalam naratif baik filem, mahupun sastera; cerita justeru lakon layar, adalah sumber utamanya.

Ia adalah tiang yang jika runtuh maka keseluruhan karya akan diheret turun bersama. Tentang cerita adalah tentang plot iaitu sebab dan akibatnya.

Filem yang tiada sebab kukuh akan membawa akibat yang ditertawakan, dipertikaikan dan berkecenderungan dilupakan selepas tayangan tamat.

Seperkara yang lebih rumit ialah filem seram sulit sekali untuk menjadi asli. Sering kita akan terlihat-lihat adegan atau sentuhan karya sebelumnya diselit bersama. Maka akan ada dakwi dakwa ia semacam peniruan semula. Hal ini mungkin sedikit mengecewakan peminat genre tersebut.

Di dalam disiplin dramaturgi, aspek dalam filem seram yang dinamakan trope selalu diperhatikan. Trope adalah satu alat sastera untuk plot dan perwatakan yang sering digunakan.

Misalnya, tempat yang hening, gelap dan menakutkan seringnya adalah aras bawah tanah, atau dalam sesetengah filem ialah loteng. Atau sebuah kediaman yang terlalu jauh tanpa jiran, yang mendorong ketakutan.

Trope di dalam filem seram tidak boleh digunakan terlalu banyak. Filem seram tidak perlu menyergah penonton setiap lima minit.

Rahsia (2023) adalah percubaan baik mengangkat genre yang masyhur ini. Kejayaan Rahsia (1987) dengan meraih Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, menerusi Othman Hafsham tidak dapat dibandingkan dengan Rahsia (2023) arahan Shamyl Othman.

Sebetulnya filem seram mempunyai sejarah panjang dalam industri perfileman kita. Filem mulai diperkenalkan di Malaya dan Singapura seawal 1898. Filem terawal ialah Laila Majnun pada 1933, diarahkan pengarah dari India, B.S.Rajhan. Filem seram Melayu muncul di panggung sekitar 1950-an dan 1960-an.

Karyawannya adalah dari India dan mereka sedaya upaya menggali mitologi Melayu, lagenda, elemen mistik dan keanehan untuk menyuguhkan kisah-kisah yang selalunya adalah mengenai pontianak, hantu paling terkenal dalam kalangan orang Melayu.

Di antara 1955 ke 1974 saja ada tujuh filem mengenai pontianak. Hantu dalam filem Melayu biasanya adalah tertentu, yakni boleh dijejaki akarnya dan diketahui puncanya. Amalan ilmu hitam sebagai bumbu masih dikira baharu.

Justeru, dengan aspek trope dan pengulangan elemen yang sama; filem seram Melayu sukar untuk menjadi baharu. Dalam erti kata lain, tiada lagi rahsia dalam filem seram Melayu. Tentu, ada bayangan sama di sana sini antara kedua-dua Rahsia ini memandangkan trope filem seram adalah serupa.

Maka filem seram juga mudah terjatuh menjadi klise. Rahsia keluarga dengan saka, puaka dan ilmu hitam masih menjadi pusat cerita. Ada kesamaan bayangan watak ilmuan, isteri yang lelah, dan anak yang nakal. Pun, sebab dan akibat masih perlu utuh.

Sebuah filem, meskipun di genre seram harus menawarkan sebab akibat yang terjalin baik. Misalnya masih dipertanyakan jenazah Tan Sri Karim terbiar di malam hari bersendirian. Hampir tidak pernah orang Melayu membiarkan jenazah terkaku sendiri begitu tambah-tambah kalau orangnya kaya.

Atau keanehan sub-plot melibatkan Che Yah yang berlalu begitu sahaja. Atau watak polis yang tidak menambah atau mengurangkan apa-apa. Aspek ini sedikit tidak rapi dan menenggelamkan lagi trope atau kitaran serupa filem seram.

Makanya filem seram ini menjadi sergahan yang biasa. Di sebalik plot yang boleh dipersoalkan, Rahsia (2023) menawarkan bintang bergemerlapan sebagai pelakon.

Nabila Huda sebagai Ramlah, seorang suri rumah memberikan yang terbaik. Eman Manan sebagai Tan Sri Karim, tentu sahaja teratas. Yang mengejutkan adalah kebolehan Marsha Milan sebagai Puan Sri Melor, dan tentu Fikry Ibrahim sebagai Hamdan, suami Ramlah dan seorang pensyarah yang pastinya boleh pergi lebih jauh.

Mislina Mustaffa sebagai Che Yah mencuri perhatian. Perlu disebutkan secara khas ketulenan lakonan Syed Ali Murtadha sebagai Saiful, yang pasti menghimbau keaslian lakonan Fazrideen Fadzil dalam Rahsia (1987) yang pernah meraih Pelakon Kanak-kanak Terbaik Festival Filem Malaysia ketujuh.

Satu hal yang mungkin tidak berlaku lagi untuk filem seram Melayu setelah Pontianak Harum Sundal (2004) Malam arahan Shuhaimi Baba ialah adanya suntikan pemikiran kritis, malah falsafah. Mohd Amirul dan Akbar Mohd dari Universiti Malaysia Sarawak dalam “The Potential of Malaysia’s Horror Movies in Creating Critical Minds: A Never Ending Philosophical Anecdote” menyatakan filem seram Melayu amat kering dari sudut identiti, malah mengkesampingkan tawaran falsafah dan pemikiran kritis yang sepatutnya ada dalam filem bermutu hatta sebuah filem seram pun.

Menurut mereka filem seram Melayu gagal mendidik audien selama 60 tahun kerana terlalu terseret dalam komersialisasi dan kejahilan pencarian aspek falsafah yang merupakan masalah utama karyawan filem kita.

Justeru, dapat dikatakan tidak ada bezanya filem seram Melayu era ini dengan yang pernah dikemukakan oleh pengarah dari India dalam 1950-an lalu. – 15 Ogos, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen