Parti kecil tiada strategi, sukar jadi kuasa ketiga, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Semua calon Muda dan Parti Sosialis Malaysia hilang wang deposit mereka apabila kecundang dalam PRN di enam negeri Sabtu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos 2023.

PARTI-parti politik kecil kering idea dan lemah strategi, sekali gus menjadikan mereka gagal untuk muncul sebagai kuasa ketiga yang mampu memberi kejutan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu, kata pakar.

Seperti yang dijangkakan, calon-calon Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hilang wang deposit mereka apabila kecundang di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Pakar politik berkata strategi yang lemah menjadikan parti-parti kecil ini gagal menarik sokongan pengundi untuk menembusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight, parti-parti yang mahu muncul sebagai kuasa ketiga dalam arena politik Malaysia sukar untuk menarik perhatian pengundi.

“Mereka mempunyai masalah identiti,” ujarnya, menambah kedua-dua parti itu gagal mengatur strategi mereka menghadapi PRN.

“Muda sepatutnya berjaya tarik perhatian pengundi muda tetapi orang muda pun tolak mereka.

“Kempen Muda juga tidak menarik. Pendekatan konvensional mereka gagal, dan kempen mereka di TikTok hambar, tidak mendapat sambutan. Muda berkempen guna cara lama,” jelas beliau.

Manakala PSM sebagai parti yang dikenali memperjuangkan golongan bawahan sepatutnya diterima pengundi daripada golongan itu, kata Hisommudin.

“PSM masih dibelenggu dengan pendekatan aktivis sosial, tiada peningkatan dari segi imej dan kempen.

“PSM tidak mendapat tempat kerana sebagai parti yang memperjuangkan golongan bawahan ia sepatutnya diterima pengundi dari golongan itu.

“Kesimpulannya, kempen Muda dan PSM tidak berkesan, tidak menarik, malah mereka juga tidak bersatu,” katanya.

Menurut Hisommudin lagi, kedua-dua parti itu lemas dek kekuatan pertarungan antara PH-BN dan PN.

Muda hanya pecah undi

Hisommudin bagaimanapun tidak menolak sepenuhnya peluang Muda dan PSM untuk muncul sebagai kuasa ketiga di masa hadapan.

Masih ada ruang untuk parti-parti politik menjadi kuasa ketiga jika mereka tampil dengan strategi dan pendekatan yang lebih baik dan berkesan, kata beliau.

“PN misalnya, mereka berjaya menjadi kuasa ketiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kalau kita lihat PAS dahulu tidak menunjukkan prestasi yang baik sehinggalah mereka berada dalam gabungan PN,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata parti-parti politik kecil tidak mampu untuk muncul sebagai kuasa ketiga kerana tiada mesej yang kuat selain faktor pemimpin yang memiliki keterampilan dalam kepemimpinan.

Muda katanya, tidak memainkan peranan sebagai kuasa ketiga, tetapi hanya memecah undi sekali gus membantu PN menang lebih banyak kerusi pada PRN baru-baru ini.

“Muda hanya pecahkan undi dan bantu PN menang (di Sungai Kandis).”

Tunku Mohar merujuk kepada pertandingan tiga penjuru di kerusi DUN Sungai Kandis yang dimenangi Wan Dzahanurin Ahmad dari PN dengan majoriti tipis hanya 167 undi. Wan Dzahanurin memperoleh 28,926 undi, menewaskan calon PH Mohd Zawawi Ahmad Mughni (28,759 undi) dan Afriena Shaqira Sariff dari Muda (1,341 undi).

Sependapat dengan beliau, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Muda dan PSM, malah Gerakan Tanah Air (GTA) yang sebelum ini diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kalah teruk pada PRU15 bukanlah nama besar dalam arena politik Malaysia.

“Parti-parti ini kecil dalam politik Malaysia, dan ini dibuktikan dengan keputusan pilihan raya yang mereka tandingi.

“Malah mereka hilang wang deposit,” katanya.

GTA bertanding di 125 kerusi parlimen pada PRU15 lalu. Tiada satu pun calon parti itu, termasuk Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz yang juga presiden Pejuang kalah di kerusi yang mereka tandingi malah terpaksa “berputih mata” apabila hilang wang deposit masing-masing. 

Kata Mazlan lagi, dalam senario pilitik sekarang tumpuan rakyat hanya kepada PH-BN dan PN. – 15 Ogos 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen