Calon Muda terus berjuang walau kalah PRN


Noel Achariam

Walaupun Muda kalah kesemua 19 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya enam negeri, kesemua calonnya berjanji untuk meneruskan perjuangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

CALON Muda yang tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak mudah berputus asa, berjanji akan terus menjadi kuasa ketiga kepada rakyat.

Walaupun kalah kesemua 19 kerusi yang mereka tandingi dalam pilihan raya enam negeri dan hilang deposit pada Sabtu, mereka tetap tidak goyah.

Mereka menyumbang kekalahan kepada pengundi yang melihat parti dan bukannya calon, masa kempen yang terhad, dan melawan pemain besar seperti Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Calon Pantai Jerejak di Pulau Pinang, Priyankaa Loh Xiang Pin berkata beliau telah mencuba yang terbaik.

“Sejujurnya, saya cuba yang terbaik tetapi rakyat memilih sebaliknya. Ada orang kata saya terlalu muda.

“Saya mungkin gadis tempatan tetapi rakyat tidak melihat saya sebagai calon yang layak. Perlawanan sebenarnya antara PH/BN dan PN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Priyankaa Loh Xiang Pin akur dengan kekalahannya pada PRN dan berkata sudah mencuba yang terbaik. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

Calon PH Fahmi Zainol daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 14,116 undi, diikuti oleh Oh Tong Keong daripada Gerakan dengan 5,519 undi. Priyankaa mendapat 472 undi manakala Ravinder Singh daripada Parti Rakyat Malaysia mendapat 76 undi.

Guru berusia 26 tahun itu berkata ramai memberitahunya semasa tempoh kempen yang beliau adalah calon muda.

“Ramai orang beritahu saya perkara yang sama, yang saya masih muda. Tetapi, saya beritahu jika bukan sekarang bila lagi…(bertanding).

“Saya memberitahu mereka yang saya masih muda dan mempunyai tenaga untuk membantu mereka jika diberi peluang, tetapi rakyat memutuskan untuk mengundi parti besar.

“Mereka sepatutnya lihat orang yang boleh melakukan kerja untuk mereka. Kita memerlukan generasi muda untuk mengambil alih,” katanya.

Mengenai bertanding lagi, Priyankaa berkata beliau akan memikirkan untuk bertanding semula dan lebih suka bertanding di Pantai Jerejak.

“Saya realistik mengenai keseluruhan tinjauan pendapat, tetapi tidak menjangka akan kalah teruk. Saya bermula dengan sifar, tetapi saya gembira kerana ada orang mengundi saya.”

Priyankaa berkata buat masa ini, beliau akan terus berkhidmat untuk parti dan kembali mengajar kelas dalam taliannya.

Perlukan perubahan

Calon Muda Kuala Kubu Bharu, Siva Prakash Ramasamy, 40, berkata beliau tidak berputus asa dan akan terus menyemai keperluan perubahan di kawasannya.

Ahli perniagaan itu berkata beliau merancang untuk terjun ke dunia politik sepenuh masa dan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.

“Saya berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat di sini. Saya pasti akan bertanding semula tertakluk kepada keputusan parti.

“Hakikat saya mendapat lebih 1,000 undi menunjukkan orang ramai mengiktiraf Muda.”

Siva Prakash Ramasamy akan terus berusaha menyemai kesedaran kepada pengundi di kawasannya akan perlunya perubahan. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

Dalam pertembungan empat penjuru, Lee Kee Hiong daripada PH memenangi kerusi itu dengan 14,862 undi manakala Harry Teoh daripada PN memperoleh 10,743 undi. Siva berjaya memperoleh 1,186 undi, manakala Chng Boon Lai daripada Parti Rakyat Malaysia mendapat 527 undi.

Malah sebagai anak jati kawasan itu, Siva percaya kekalahannya kerana pengundi lebih mementingkan parti yang lebih besar berbanding calon.

“Rakyat masih fokus kepada parti dan bukannya individu untuk berkhidmat kepada mereka.

“Jadi, ia akan mengambil masa bagi rakyat menerima menyokong calon yang betul yang boleh menjalankan tugas dan bukannya melihat kepada parti.

“Ia (kekalahan) tidak penting. Saya akan terus berkhidmat kepada warga KKB dan tiada kaum akan tercicir termasuk bilangan Orang Asli yang ramai di sini.”

Beliau juga berkata faktor lain ialah tanggapan salah rakyat  terhadap Muda dikawal Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka bimbang Muda digerakkan oleh Tun (Dr Mahathir) yang mengakibatkan penurunan undi untuk Muda.”

Pada Jun, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menepis dakwaan parti itu dikaitkan dengan Dr Mahathir. – 15 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen