Kanak-kanak mangsa dera terima rawatan sebelum diserah kepada waris


KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, Johor Jumaat lepas akan menerima rawatan terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai, di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata kanak-kanak itu dilihat ceria ketika bersama bapa, bapa saudara dan datuknya semasa lawatan beliau ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru semalam.

“Saya juga memberikan sumbangan kepada kanak-kanak itu bagi menceriakan lagi perasaannya. Di kesempatan itu juga kami bersama-sama meraikan ulang tahun kelahirannya bersama bapa kandung, bapa saudara dan datuknya yang datang dari Kedah.

“Tidak pernah terlepas daripada senyuman saya berharap agar kanak-kanak ini membesar dengan tabah dan kuat,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau malam tadi.

Khairin-Nisa turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Pelindung Kanak-Kanak dan pihak HSI terutamanya pakar pediatrik hospital kerana menjaga dan memberikan hak yang sepatutnya kepada kanak-kanak berkenaan.

“Turut berterima kasih kepada Penghulu Mukim Plentong Daerah Johor Bahru Tok Mohd Nurul Faiz Aman yang bersama-sama ketua-ketua kampung dan Komuniti Pr1ma Bandar Layangkasa yang peka dengan keadaan kanak-kanak itu dan segera bertindak.

“Diingatkan kes penderaan kanak-kanak boleh disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Sabtu lepas Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya, warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak itu.

Sebelum ini tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya. – Bernama, 14 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen