PSM cari pendekatan baharu hadapi pilihan raya


Alfian Z.M. Tahir

PSM bergabung dengan Muda pada PRN enam negeri kali ini dan kerjasama itu gagal menghasilkan kejayaan dengan tidak memenangi sebarang kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2023.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) perlu menggunakan pendekatan baharu dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti berhaluan kiri itu mahu memenangi kerusi di negara ini, kata pengarah pilihan raya parti itu.

S Arutchelvan, yang juga timbalan pengerusi parti, bagaimanapun mengakui masih terlalu awal untuk memutuskan sebarang kemungkinan kerjasama politik, sambil menekankan kepentingan bedah siasat untuk mengkaji keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Dalam PRN enam negeri itu, PSM bertanding di Kajang, Meru, Kota Damansara dan Dengkil. Calon parti itu hilang semua deposit masing-masing.

Rentetan kekalahan itu berlarutan dalam beberapa pilihan raya, dengan kemenangan terakhir hadir pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Arul, seorang aktivis veteran, memberitahu The Malaysian Insight satu daripada alasan kekalahan besar mereka pada Sabtu adalah kerana pengundi sudah menetapkan fikiran untuk memilih antara gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) atau Perikatan Nasional (PN).

“Orang sudah memikirkan mengenai PH-BN atau PN, dua gabungan terbesar. Sebagai gabungan ketiga, kami tidak boleh mengubah semua itu. Dalam sistem pilihan raya terakhir, pengundi hanya mahukan dua gabungan terbesar.

“Kami perlu mengadakan bedah siasat dan dari situ kami akan membincangkan mengenai masa depan kami. Kami mungkin perlu mengadakan kerjasama baharu dengan parti lain dan kami juga perlu bertanding di banyak kerusi untuk membuktikan kami serius mahu membentuk kerajaan.

“Dalam PRN ini, kami bertanding hanya empat kerusi dan ia tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Pada masa depan, kami mungkin perlu berbincang dengan parti lain seperti Muda, PBM atau PRM.

“Sekalipun ia masih baharu, dengan mempunyai kerjasama lebih besar, kami akan memberikan pengundi satu alternatif, pilihan ketiga,” katanya.

Arul bertanding sebagai calon di Kajang dan menerima hanya 2,681 undi manakala David Cheong dari PH mengumpul 54,794 undi. Calon PN, Allan Liew meraih 20,400 undi.

Arul menjangkakan bahang politik di Selangor tidak akan reda walaupun PH-BN membentuk kerajaan negeri.

“Pengundi jelas menolak Umno dalam pilihan raya negeri. Suasana tidak akan reda, ia pasti semakin panas,” katanya.

Boleh bertindak lebih baik pada masa depan

Sementara itu, seorang lagi calon PSM, M Sivaranjani berkata parti itu mempunyai masa depan cerah di Meru sekalipun hanya meraih 899 undi.

Beliau menjelaskan PSM hanya setahun jagung di Parlimen itu, menambah PH atau BN tidak kuat di kawasan itu.

Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan (kanan) mahu bedah siasat segera dijalankan mengenai kegagalan mereka dalam PRN enam negeri pada Sabtu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2023.

“Kami baru setahun di Meru dan orang ramai keliru antara PSM dan PH kerana warna bendera kami sama. Ramai berasakan kami sebahagian daripada PH. Kami terpaksa menjelaskan kepada mereka mengenai perkara ini.

“Kami akan terus membuka pusat khidmat di sini dan dengan kerja kuat serta keazaman tinggi, saya yakin kami boleh menang suatu hari nanti.

“Jika anda lihat kepada keputusan, majoritinya tidak besar, ia kira-kira 2,000 lebih. Sekalipun PN menang di Sementa dan Selat Klang, di bawah Parlimen Kapar, jurang perbezaannya tidak besar.

“Oleh itu, PH mahupun PN bukanlah kuat sangat. Jika kami boleh memberikan perkhidmatan terbaik untuk orang ramai di sini, bagi lima tahun akan datang, PSM mempunyai masa depan cerah,” kata calon yang tewas itu.

Meru dimenangi calon PH, Mariam Abdul Rashid dengan 26,980 undi. Hasnizam Adham dari PN mendapat 23,558 undi.

Proses peremajaan parti diperlukan

Bagi ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, PSM perlu dijenamakan semula kerana sebagai ‘sosialis’ ia tidak diterima baik pengundi Melayu.

Beliau turut berkata, PSM tidak akan bertahan lama jika ia memutuskan untuk menyertai PH sebagai satu gabungan.

“Ideologi sosialis PSM berbeza dengan ideologi sosialis DAP. PSM masih satu parti sosialis sejati manakala DAP lebih di tengah-tengah.

“Bagi PSM untuk diterima, mereka perlukan penjenamaan semula, peremajaan parti. Pada pendapat saya mereka perlu mengubah namanya. Jika mereka pergi ke Kelantan dan Terengganu, mereka tidak akan dapat apa-apa.

“Begitu juga PKR di Pantai Timur. Nama memainkan peranan penting. Seperti Amanah, mereka boleh diterima.”

PSM sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat pada 2008 apabila parti itu menang di Kota Damansara di bawah bendera PKR pada PRU ke-12.

Veteran parti, Dr Michael Jeyakumar Devaraj adalah ahli Parlimen Sungai Siput bagi dua penggal (2008-2013) menewaskan Presiden MIC, mendiang S Samy Velu.

Bagaimanapun sejak 2018, parti itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada PH dan permohonan mereka untuk bertanding di bawah bendera PH ditolak. – 14 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen