Keputusan PRU15 pengaruhi pengundian PRN, kata pemerhati


Pemerhati melihat BN-PH perlu meneliti kembali kaedah berkempen terutama di negeri-negeri di Pantai Timur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2023.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas dilihat memberi kesan dan mempengaruhi corak pola pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) enam negeri semalam, kata Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Saya rasa ada pencapaian tertentu yang berjaya dicapai oleh kerjasama antara PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional), namun ada juga kawasan yang kita jangka dengan kerjasama ini dapat menang lebih besar, tetapi ia tidak pula berlaku,” katanya ketika menjadi tetamu pada Program ‘PR6N: #AndaPenentu’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata kerjasama yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan selepas PRU15 itu dilihat masih belum memberi impak secara langsung kepada pengundi di negeri-negeri Pantai Timur untuk memilih mereka.

Katanya penentu kepada kemenangan sesebuah parti adalah golongan muda namun berdasarkan trend pengundian di enam negeri semalam sokongan golongan itu dilihat masih tidak menentu, berubah-ubah dalam memilih parti mana yang hendak disokong.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Azwan Abd Rahman berkata BN-PH perlu melihat kembali kaedah berkempen terutama di negeri-negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata golongan muda di negeri berkenaan secara umumnya melihat BN-PH lebih banyak membawa isu-isu nasional dan kurang mengetengahkan isu-isu setempat. 

“Kalau lihat isu-isu yang dibawa adalah bersifat nasional dan kabur daripada isu setempat. Perkara itu menenggelamkan minat dan kepentingan anak muda di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Mereka tidak nampak apa BN-PH tawarkan kepada mereka (dalam manifesto), kerana ia lebih kepada isu nasional,” katanya.

Beliau berkata apapun kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu menghormati keputusan rakyat dan bekerjasama dalam membantu mereka agar negara lebih maju. – Bernama, 13 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen