Kedudukan Muda dalam Kerajaan Perpaduan perlu disemak semula, kata sumber


Ravin Palanisamy

Keputusan Muda bergerak solo pada PRN menjejaskan peluang Pakatan Harapan-Barisan Nasional menang di beberapa kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2023.

KEDUDUKAN Muda dalam Kerajaan Perpaduan perlu disemak semula selepas parti itu bertanding sendirian pada enam pilihan raya negeri terbaru, kata sumber.

Walaupun Muda hanya mempunyai satu kerusi Parlimen, ia membawa perbezaan besar antara majoriti mudah dan majoriti besar untuk Pakatan Harapan-Barisan Nasional dalam Parlimen yang mempunyai 222 kerusi.

Pentadbiran Anwar Ibrahim ketika ini disokong oleh 148 ahli Parlimen termasuk daripada Muda yang membolehkan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan majoriti dua pertiga.

Keputusan parti itu untuk bertanding sendiri menyebabkan PH kehilangan sekurang-kurangnya satu kerusi iaitu DUN Sungai Kandis di Selangor. PH-BN menyasarkan majoriti dua pertiga dalam negeri yang menjadi kubu kuat PKR dan DAP itu.

Sumber PH itu berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.

“Ini perlu dibincangkan dan kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan perlu diberi pertimbangan serius.

“Mereka mencetuskan masalah di beberapa kerusi ditandingi gabungan perpaduan dalam pilihan raya negeri.

“Tidak sihat untuk mempunyai rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak mahu bekerjasama dan sebaliknya menimbulkan masalah,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Keputusan Muda bertanding di Sungai Kandis menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Calon PN Wan Dzahanurin Ahmad berjaya meraih 28,962 undi dengan majoriti 67 berbanding calon PH Zawali Mughni yang mendapat 28,759 undi.

Calon Muda Afriena Shaqira pula memperolehi 1,341 undi.

Farhan Iqbal, bekas ketua komunikasi strategik kepada Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menjadi pegawai Menteri Ekonomi Rafizi Ramli turut mempersalahkan Muda atas kekalahan PH di kerusi DUN Selangor.

Muda adalah sebahagian daripada kerjasama pilihanraya PH tetapi memutuskan untuk bergerak solo dalam enam PRN yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun Syed Saddiq menafikan yang tindakan parti itu mewujudkan perpecahan undi.

Ahli Parlimen Muar itu berkata Muda memutuskan kerjasama dengan PH, mendakwanya tidak melunaskan janji pembaharuan yang dibuatnya.

Muda kalah semua kerusi yang ditandinginya pada PRN. – 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen