2,427 kes demam denggi dilapor, kata KP kesihatan


Sebanyak 2,427 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 30 (ME30) iaitu bagi tempoh 23 hingga 29 Julai lepas. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2023.

SEBANYAK 2,427 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 30 (ME30) iaitu bagi tempoh 23 hingga 29 Julai lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata jumlah itu sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 169 kes atau 7.5 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 2,258 kes.

Dr Muhammad Radzi berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME30.

“Kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga ME30 adalah sebanyak 68,651 kes berbanding 31,127 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 37,524 (120.6 peratus).

“Sejumlah 47 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai bilangan lokaliti hotspot pada ME30, beliau berkata ia menunjukkan penurunan dengan sebanyak 93 lokaliti dilaporkan berbanding 104 lokaliti pada minggu sebelumnya.

“Sebanyak 70 lokaliti berada di Selangor, 10 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah (enam), Perlis (empat), Sabah (dua) dan Negeri Sembilan (satu),” katanya.

Bagi survelan chikungunya pula, Dr Muhammad Radzi berkata satu kes direkodkan pada ME30 menjadikan jumlah kumulatif kes penyakit berkenaan adalah 145 kes sehingga kini.

Sementara itu beliau berkata bagi survelan zika, sebanyak 1,769 sampel darah dan 119 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif. – Bernama, 11 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen