3,495 undi pos luar negara mula dihantar ke 6 negeri


Noel Achariam

Kertas undi pos luar negara disusun dan asingkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebelum dihantar ke 245 kerusi DUN dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos 2023.

SEBANYAK 3,495 kertas undi pos yang dibawa balik dari luar negara kini dalam perjalanan untuk diagihkan ke enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) esok, kata Undi18.

Pengasas bersamanya Tharma Pillai berkata bermula jam 3 petang tadi, kertas undi pos telah pun dihantar ke Kelantan dan Terengganu oleh sukarelawan Undi18 dari pusat pengumpulan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

“Bagi empat negeri lain (Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah), sekarelawan kami bertolak pada jam 6 petang tadi. Kami menerima 43.8% daripada 7,972 pengundi pos di luar negara yang telah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami menjangkakan kertas-kertas undi berkenaan akan sampai ke kawasan masing-masing selewat-lewatnya pagi esok atau sebelum tempoh pengundian ditutup,” katanya kepada The Malaysian Insight, menambah proses menyusun dan mengasingkan kertas undi KLSCAH tamat pada jam 5 petang tadi.

Pusat mengundi di enam negeri terbabit akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, menurut SPR hari ini.

Esok juga akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. PRN di enam negeri melibatkan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut SPR, untuk PRN sebanyak 7,972 undi pos telah dikeluarkan bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), dan 1,727 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula, sebanyak 77 kertas undi pos dikeluarkan untuk Kategori 1B, Kategori 1C (71) dan PTH Luar Negara (18). – 11 Ogos 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen