INDONESIA dan Kemboja membincangkan komitmen untuk bekerjasama dalam menangani pemerdagangan orang pada forum Ketua-ketua Pengarah Jabatan Imigresen Asean dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar (DGICM).
Mesyuarat tahunan ke-26 bagi Asia Tenggara itu berlangsung di Phuket Thailand dari 8 hingga 11 Ogos.
Ketua Pengarah Imigresen Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Silmy Karim berkata ramai rakyat Indonesia menjadi mangsa perjudian dan penipuan dalam talian dan dalam perniagaan buah pinggang, lapor Agensi Berita Antara.
Berdasarkan penjelasan delegasi Kemboja, negara itu dilaporkan pernah membenarkan dan mengeluarkan lesen untuk aktiviti perjudian dalam talian, namun kebenaran dan lesen dibatalkan serta mengisytiharkan aktiviti itu sebagai haram sejak Jun 2019.
“Pada 2022 pihak berkuasa tempatan menjalankan operasi di sebuah premis di Sihanoukville, Kemboja yang disyaki pusat perjudian. Lebih 200 orang ditahan, kebanyakannya dari Indonesia,” katanya hari ini.
Warga Indonesia yang dikenal pasti menjadi mangsa di tempatkan di bawah perkhidmatan sosial di Kedutaan Indonesia di Phnom Penh untuk sementara waktu, manakala selebihnya ditahan di bilik tahanan Imigresen Kemboja.
Mengenai isu penjualan buah pinggang, beliau berkata ia merupakan maklumat baharu yang diterima kerajaan Kemboja.
Sementara itu Silmy Karim berkata pejabatnya menggesa pegawai imigresen supaya mengambil langkah pencegahan dan perlindungan bagi menangani pemerdagangan orang dengan menyemak teliti profil pemohon sebelum mengeluarkan pasport selain membuat pemeriksaan teliti di lokasi pemeriksaan imigresen.
Sebagai langkah pencegahan ketua pengarah imigresen boleh menangguhkan permohonan pasport sehingga tiga tahun jika mensyaki pemohon itu mahu bekerja di luar negara.
“Mengenai pemerdagangan orang yang melibatkan jumlah mangsa yang ramai, kami bersetuju Indonesia membuat susulan dan memulakan perjanjian kerjasama dengan Kemboja dalam tempoh terdekat,” katanya. – Bernama, 11 Ogos, 2023.
Komen