Ramasamy selama ini tidak ikhlas bersama DAP, kata Loke


SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke berkata beliau terkilan dengan keputusan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy keluar daripada parti itu.

Keputusan Ramasamy untuk meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan pemimpin veteran itu selama ini tidak ikhlas bersama DAP, katanya kepada pemberita selepas program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat di Kampung Chennah di Jelebu hari ini. 

Tambah Loke, DAP telah memberi peluang cukup lama kepada Ramasamy untuk berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang sejak 2008.

“Bagi saya apabila seorang itu tidak lagi mendapat jawatan dalam parti, maksudnya keberadaan dalam parti tiada keikhlasan, adakah selama ini mereka hanya tunggang parti demi jawatan, tiada jawatan terus keluar parti?” katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Loke menafikan dakwaan Ramasamy kononnya beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai keputusan pimpinan DAP untuk tidak menamakannya sebagai calon PRN kali ini. 

Menurut Loke, 25 Julai lalu beliau bersama Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming telah bertemu secara bersemuka dengan setiap penyandang Adun yang tidak dicalonkan semula dalam kali ini, termasuk Ramasamy, di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang.

Pertemuan itu diadakan sebelum Majlis Pengumuman Calon DAP pada petang yang sama, dan turut dihadiri Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, jelasnya.

“Saya berasa amat kesal dengan tindakan Dr. Ramasamy yang sanggup membohong dalam perkara ini. Pembohongan ini menghilangkan semua rasa hormat saya kepada beliau sebagai bekas pensyarah saya,” kata Loke.

Pagi tadi, Ramasamy umum keluar DAP selepas berkhidmat selama 18 tahun dalam parti itu sejak 2005. 

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu berkata beliau menghantar surat peletakan jawatan kepada Loke dan Chow pagi tadi.

“Saya ambil keputusan ini selepas berunding secara mendalam dengan ahli keluarga dan rakan-rakan tertentu. Keputusan untuk meninggalkan DAP adalah satu yang sukar.

“Saya akan terus berjuang. Saya akan terus bersuara untuk golongan masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Adun Perai di Butterworth, hari ini.

Mengulas keputusan Ramasamy itu, Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata beliau berharap bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu masih dapat membantu kerajaan meskipun telah melepaskan semua jawatan dan mengumumkan keluar dari DAP.

Anwar turut memaklumkan beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ramasamy berkenaan keputusan yang dilakukan.

“Ramasamy sahabat saya dan tentunya beliau dapatkan pandangan terlebih dulu dan saya faham keadaan itu yang ada masalah khusus dalam parti.

“Saya harap beliau dapat mainkan peranan positif dalam membantu kerajaan meneruskan pendekatan madani,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik, hari ini. – 10 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen