Zahid gesa Muhyiddin panggil menantu balik buktikan tidak bersalah


Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhammad Adlan Berhan yang ketika ini dipercayai berada di luar negara perlu menjawab segala persoalan dan membuktikan dirinya tidak bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin perlu meminta menantunya Muhammad Adlan Berhan pulang dan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Adlan yang ketika ini dipercayai berada di luar negara perlu menjawab segala persoalan dan membuktikan dirinya tidak bersalah.  

“Kalau tidak bersalah kenapa takut ... buktikan di mahkamah hadapi pertuduhan dan hadapi perbicaraan.

“Saya menghadapi pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah dan hadir ke mahkamah apabila ditentukan tarikh dan saya tidak pernah lari ke luar negara. Panggilah menantu pulang hadapi perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Perumahan Nelayan Tok Bali, di Pasir Puteh hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman dan calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak Marshella Ali.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini berkata Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Menurut SPRM, semakan rekod oleh suruhanjaya itu juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lepas, dan setakat ini tiada rekod kedua-duanya telah kembali ke Malaysia. – Bernama, 9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen