Polis akan panggil ahli Parlimen PAS dakwa keselamatan Sanusi terancam


Ahd lalu, seorang ahli Parlimen PAS di Kedah mendakwa Muhammad Sanusi Md Nor tidak hadir ke satu ceramah kerana dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian bagi melindunginya daripada masuk 'perangkap musuh'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos 2023.

POLIS akan memanggil seorang ahli Parlimen PAS Kedah berhubung kenyataannya yang mendakwa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terancam.

Ketua Polis Kedah Fisol Saleh berkata Sanusi juga mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Setakat ini polis menerima empat laporan berhubung kenyataan ahli Parlimen berkenaan, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

“Saya tidak tahu adakah Sanusi melaporkan perkara itu (kepada pengawal peribadinya). Saya pasti dimaklumkan kerana saya ketua polis Kedah. Tetapi saya tidak mendapat sebarang makluman,” kata Fisol dipetik Free Malaysia Today.

Beliau dalam pada itu menggesa calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini supaya membuat laporan polis sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam.

Sanusi dilaporkan tidak hadir pada ceramah di Sungai Petani bagi menyokong Azizan Hamzah, calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Bukit Selambau, Kedah pada Ahad.

Sebelum menamatkan ucapan pada ceramah itu, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Sanusi tidak hadir kerana dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian selepas menghadiri satu mesyuarat di Kuala Lumpur pada Sabtu bagi melindunginya daripada masuk ke “perangkap musuh”.

“Saya nak baca kertas ini tulis berita yang menyedihkan. Pagi tadi (Sabtu) menteri besar mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat tersebut dibincang beberapa perkara penting, perkara besar. Daripada itu dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramahnya pada malam ini.

“Ini kerana ada perangkap yang dipasang oleh musuh, perangkap itu menghendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Mengulas laporan itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada satu sidang media di Alor Setar semalam berkata Afnan patut membuat laporan polis jika betul keselamatan Sanusi terancam.

Sanusi dilaporkan juga tidak hadir ke satu program di Padang Serai pada malam Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan dakwaan Afnan itu, dan berkata ahli Parlimen PAS itu mungkin bermaksud Sanusi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Dia (Sanusi) mungkin terperangkap dalam kesesakan kot. Itu yang tak dapat pergi kempen.

“Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang. Jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud ‘perangkap’,” kata Ayob kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini. – 8 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen